[VIDEO] Ingatkan lega tapi yang dapat sakit, lelaki Filipina dakwa kaki patah lepas sesi urut di rumah


  • Benua
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Yurong terpaksa menanggung kecederaan serius apabila kaki kanannya patah selepas menjalani rawatan kiropraktik di rumah sejak November lalu.

SEORANG lelaki di Filipina terpaksa menanggung kecederaan serius sejak November lalu apabila kaki kanannya patah selepas menjalani rawatan kiropraktik di rumah.

Kiropraktik adalah rawatan menekankan teknik manual termasuk pelarasan tulang belakang serta manipulasi sendi dan tisu lembut

Menurut Leobert Mangubat Yurong, dia sebelum ini mendapatkan rawatan berkenaan untuk melegakan sakit badannya di salah sebuah pusat urut di bandar Cagayan De Oro pada November lalu.

Namun, beberapa hari selepas mendapatkan rawatan kiropraktik tersebut, dia mula mengalami kesakitan di kaki kanannya lalu mendapatkan rawatan di hospital.

BACA LAGI: [VIDEO] Jiran dari neraka tular pegang parang, ditahan polis buat kali ke-2 lepas ugut bunuh di Kluang

BACA LAGI: Misteri rangka manusia tanpa identiti ditemukan di Miri

Pemeriksaan lanjut di hospital mengesahkan Yurong mengalami patah tulang kaki kanan yang serius, dan dia kini menunggu pembedahan untuk membetulkan keadaannya.

Yurong mendedahkan insiden itu melalui Facebook pada 18 November lalu dan memuat naik semula video sesi rawatan tersebut yang sebelum itu telah dipadamkan.

Menurut Yurong, dia memadamkan video berkenaan selepas pengamal kiropraktik itu berjanji untuk menanggung kos perubatannya.

Namun, apabila janji tersebut tidak ditepati, dia mengambil keputusan untuk berkongsi semula video tersebut sebagai langkah meningkatkan kesedaran orang ramai.

Video yang tular di media sosial itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk kecaman terhadap amalan kiropraktik tanpa kelayakan profesional.

Kejadian itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai risiko mendapatkan rawatan alternatif tanpa memastikan pengamalnya mempunyai latihan dan kelayakan yang diiktiraf.

Orang ramai diingatkan untuk lebih berhati-hati dan menyelidik latar belakang pengamal perubatan sebelum mendapatkan sebarang rawatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram