
PIALA Mitsubishi Electric Asean 2024 (Piala AFF) bakal menjadi tugasan terakhir Pau Marti Vicente selaku pengendali interim Harimau Malaya apabila disahkan skuad kebangsaan bakal menerima indvidu baharu untuk menggalas tugas berat itu.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, keputusan itu dibuat susulan proses penstrukturan semula bakal berlaku dalam Harimau Malaya dan pengendali baharu akan mengemudi skuad kebangsaan bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Penstrukturan pengurusan pasukan kebangsaan yang dijangka diumumkan pada Disember ini sudah mengaitkan beberapa jurulatih dan terbaharu nama Tsuyoshi Otsuki pula dipetik.
BACA LAGI: Ekor Harimau Malaya lebih realistik, cuma mahukan pemain beri aksi terbaik sepanjang Piala AFF 2024
BACA LAGI: Pernah hadapi masalah DNA Jerman, pertemuan TMJ-RMS ubah prestasi Selangor FC
Nama Otsuki mula meniti di bibir penyokong domestik selepas seorang wartawan Jepun menyebut nama bekas pengendali Urawa Red Diamonds itu bakal mencari angin baharu dengan melatih Harimau Malaya.
Pengendali berusia 52 tahun itu bukan calang-calang indvidu apabila rekod menunjukkan Otsuki berhasil membawa kelab Jepun itu layak ke pentas final Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 sebelum tewas kepada Al-Hilal.
Selepas meninggalkan Urawa Reds pada musim 2021, Otsuki dilantik sebagai ketua jurulatih kelab divisyen kedua Jepun, Thespa Gunma bagi musim 2022 hingga 2024.
Sekiranya dipilih sebagai pengendali Harimau Malaya, Otsuki akan menjadi pengendali Jepun kedua yang berada di tanah air selepas Selangor melantik Katsuhito Kinoshi pada November lepas.
Sebelum ini, bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari antara calon hangat menjadi ketua jurulatih baharu skuad senior bola sepak kebangsaan.
Bukan hanya Solari, Benjamin Mora juga dikaitkan akan berada dalam sebahagian daripada penstrukturan semula sistem skuad kebangsaan sebagai jurulatih B-23 Tahun Harimau Muda.
Khabar angin itu dikuatkan dengan Solari yang baru sahaja bergelar ejen bebas susulan berpisah dengan majikannya, Everton de Vina del Mar yang berpangkalan di Chile. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram