INSIDEN tidak diingini kerap melanda murid mahupun pelajar di sekolah meskipun terdapat pengawasan ketat daripada guru dan kakitangan lain yang mahu memastikan kawasan itu bebas daripada segala jenis musibah.
Namun, disebabkan kelalaian, isu tersebut sering berlaku sehingga mendesak pihak pengajar perlu mengambil tanggungjawab dan bekerjasama dengan ibu bapa bagi memastikan perkara berkenaan tidak berpanjangan.
Baru-baru ini, perkara sedemikian terjadi dan dikongsikan seorang pengguna Facebook, Husna Adnan yang menceritakan bagaimana anaknya mengalami kelecuran akibat kecuaian rakan-rakan.
BACA LAGI: [VIDEO] Suami isteri 'lalok' hisap gam depan anak dalam Iswara bergerak di Melaka
BACA LAGI: Hidu gam: Perkasa NGO bantu kanak-kanak tiada kerakyatan dapat pendidikan
Dalam satu hantaran yang kini tular, dia menyatakan anaknya dikenali sebagai Afia tercedera selepas kulitnya terkena gam kuat yang diletakkan di atas meja.
Lebih mengejutkan, gam tersebut menyebabkan pakaiannya seperti baju dan tudung 'terbakar', namun murid itu bernasib baik kerana dia mengenakan sarung lengan untuk ke sekolah ketika hari kejadian.
"Kecederaan Afia disahkan sebagai '1st degree burn/superficial burn'. Perlu makan antibiotik dan datang semula ke klinik esok (Khamis) untuk cuci luka. Dapat MC dua hari. Mujur dah selesai UASA (Ujian Akhir Sesi Akademik).
"Kalau anak tuan puan ada gam super glue, elak bawa ke sekolah tanpa keperluan. Beritahu yang gam sebegini bahaya jika terkena terus pada kulit. Jangan dibuat main," katanya.
Peringatan itu sememangnya wajar diberikan kerana terdapat kemungkinan besar seorang murid tidak tahu risiko sekiranya tersentuh gam tersebut yang sering diletakkan di bengkel Kemahiran Hidup.
Alatan seperti 'super glue' sepatutnya disimpan di dalam bengkel Kemahiran Hidup.
Meskipun ia disediakan pihak sekolah, penggunaannya perlu diawasi guru atau pekerja terlatih dengan perkara tersebut diakui pengguna Facebook lain yang turut meluahkan kebimbangan masing-masing.
"Saya tahu gam kuat (super glue) ni bahaya pun apabila sudah terkena pada tangan sendiri. Mungkin pelajar-pelajar sekolah tak tahu bahayanya barangan ini sebab tiada pendedahan. Mungkin mereka ingat ini sekadar gam biasa yang kuat," kata Ai Wish.
"Saya guna gam ini pada kayu dan engsel pintu. Nak guna pun, saya pakai sarung tangan. Ya Rabbi, kesiannya," kata Mohamad Feroz Zaini.
"Gam gajah antara alat yang paling susah untuk dikendalikan tapi saya faham ada banyak projek sekolah yang terpaksa guna sebab ada dalam buku teks PSV (Pendidikan Seni Visual). Saya lebih suka larang penggunaannya berbanding gunting dan pisau lipat," kata Nur Syifa.
Alatan sedemikian sememangnya tidak dibenarkan untuk dibawa keluar dari bengkel tanpa kebenaran guru memandangkan ia mempunyai ciri menghakis sekiranya terkena pada kulit.
Jadi, tidak hairanlah hantaran sedemikian menerima respons daripada pengguna media sosial lain yang masing-masing meluahkan kerisauan dari sudut pandangan ibu bapa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram