'Buktikan salah', fans Selangor gusar pengganti Nidzam Jamil sekadar tangkap muat


  • Podium
  • Ahad, 24 Nov 2024

Kinoshi (baju biru) menjadi jurulatih Jepun pertama yang berada dalam barisan kejurulatihan untuk pasukan gergasi Eropah. — Instagram/Kinoshi

SELANGOR FC mengumumkan Katsuhito Kinoshi sebagai ketua jurulatih baharu skuad Gergasi Merah, sekali gus menggantikan Nidzam Jamil yang meninggalkan pasukan berkenaan pada 31 Oktober lepas.

Perkembangan terbaharu mengenai kehadiran pengendali kelahiran Tokyo, Jepun itu disahkan Gergasi Merah menerusi kenyataan rasmi di laman sesawang mereka pada Ahad.

Menerusi kenyataan Selangor FC, Kinoshi memiliki kepakaran dalam membangunkan pasukan, strategi serta pembangunan pemain muda yang akan menjadi aset besar kepada kelab itu dalam usaha mencapai kejayaan.

BACA LAGI: Import Melaka bangkit pamer kualiti, fans Terengganu 'berang' penyakit lama berulang

BACA LAGI: Ong Kim Swee beri kemenangan ke-50 buat Sang Badak, fans anggap hanya perlawanan latihan Sabah FC

Selain itu, pengendali berusia 60 tahun itu juga mempunyai reputasi tersendiri apabila pernah bekerjasama dengan legenda Yugoslavia, Dragan Stojkovic sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan Serbia selama empat tahun.

Hasil kebijaksanaan Stojkovic dan Kinoshi, duo berkenaan berjaya membawa skuad kebangsaan Serbia muncul juara Kumpulan B4 Liga Negara-Negara UEFA 2022-2023.

Di peringkat kelab pula, Kinoshi yang boleh bertutur Jepun, English dan Portugal itu juga pernah bersama Stojkovic mengendalikan Nagoya Grampus Eight dari tahun 2008 hingga 2014.

Sebelum mengembangkan karier ke Serbia, Kinoshi pernah menimba ilmu bersama Giovanni van Bronckhorst sewaktu bersama Guangzhou City (2015-2016) dan Akira Nishino (Nagoya Grampus) dari 2014 hingga 2015.

Meskipun memiliki pengalaman luas namun kredibiliti Kinoshi diragui oleh segelintir penyokong Selangor FC kerana rekodnya yang tidak pernah menjadi ketua jurulatih kelab mahupun negara.

"Ini bukan nak kecam tapi dia tidak pernah jadi ketua jurulatih, sekadar jadi penolong dan jurulatih kecergasan. Tidak pernah jadi ketua jurulatih maksudnya tidak ada rekod perlawanan. Kita tidak tahu gaya permainan yang dibawa. Jangan tangkap muat saja," kata penyokong Selangor, Kazarudin Zainudin.

"Tugasnya pertama sebagai ketua jurulatih, saya tak tahu bagaimana dia akan urusakan. Harapnya jurulatih ini boleh buktikan yang kita (penyokong) salah," tambah penyokong Gergasi Merah, jerstweet.

"Bayangkan tekanan yang dia hadapi juga tapi dia pernah bekerja dengan jurulatih hebat sebelum ini dalam skala lebih besar. Teruja nak tahu bagaimana dia akan uruskan Gergasi Merah," pendapat penyokong Selangor, Fiq_Kemal.

Dalam pada itu, Kinoshi menyatakan amat teruja untuk bekerja dengan barisan pemain Selangor yang berbakat dan menjangkakan pasukan yang teratur, dinamik dan bersedia untuk berjuang bagi setiap perlawanan.

"Saya berbesar hati untuk menyertai Selangor FC, dan teruja untuk bekerjasama dengan pemain-pemain berbakat di sini.

"Kita akan berusaha bersama untuk membina pasukan yang bukan sahaja kuat dari segi taktikal tetapi juga dipenuhi dengan semangat dan keazaman untuk berjaya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram