'Midfield kembali hidup', Messi baharu Liga M bantu Perak atasi Kelantan


  • Podium
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Daniel Hakimi (kiri) yang baru menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC berhasil meledak gol kemenangan untuk Perak. — Facebook/PerakFC

PERJUANGAN Perak FC dalam saingan Piala Malaysia bermula langkah kanan apabila berhasil merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi pusingan 16 pada Jumaat.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor susulan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di Kelantan masih lagi menjalani proses naik taraf itu menyaksikan Kijang Emas sukar mendapatkan rentak permainan.

Kejanggalan beraksi di laman pasukan lain itu menyaksikan pasukan Pantai Timur berkenaan dilihat kurang melakukan serangan ke arah gawang yang dijaga oleh penjaga gol, Mohamad Ramadhan Ab Hamid.

BACA LAGI: Perbicaraan tuntutan gaji LTK-Perak FC bersambung Selasa, pertukaran mahkamah tak beri kesan

BACA LAGI: FAM rehatkan pengadil kontroversi aksi Perak-JDT, hantar kertas pertuduhan terhadap Arif Aiman-Tommy Mawat

Perak yang menguasai permainan berhasil mendapat gol pendahuluan selepas gerakan dari Firdaus Saiyadi kepada Adilet Kanybekov berhasil disudahkan oleh Clayton Da Silva menerusi tandukan cantik menewaskan Fikri Che Soh pada minit ke-23.

Meskipun Perak berhasil mendapatkan gol pendahuluan namun penyokong The Bos Gaurus (TBG) merasai ketiadaan ketua pasukan Luciano Guaycochea lagi-lagi pemain import Argentina itu menghadirkan keseimbangan kepada skuad Seladang.

"Tengah teruk sangat, ini sebab Lucho tidak main," kata penyokong Perak FC, Hissan Zul.

"Alamak, memang mati bahagian tengah bila kapten kita tiada," tambah penyokong TBG, Nua XOX.

Berdasarkan pengamatan Majoriti, Guaycochea dilihat berada di kawasan tempat duduk penonton bersama Luka Milunovic. Kedua-duanya tidak beraksi menentang KDN FC susulan isu kecederaan dialami mereka.

Bersambung babak kedua, Yusri Che Lah mengambil pendekatan memberi peluang kepada pemain muda seperti Ahmad Daniel Hakimi dengan memasukan prospek Bawah-20 tahun itu bagi menggantikan Adilet.

Daniel Hakimi yang baru menandatangani lanjutan kontrak bersama Perak FC untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia menjalankan peranannya dengan baik apabila berfungsi dalam melakukan percubaan ke kubu lawan.

WhatsApp Image 2024-11-22 at 22.00.40

Tandukan Clayton menewaskan penjaga gol KDN, Fikri Che Soh pada minit ke-23. — Facebook/PerakFC

Perak di hadapan selepas satu jaringan pantas daripada Azfar Fikri Azhar yang menambah gol kedua skuad Seladang apabila pemain tengah berkenaan bijak memanfaatkan kelekaan pertahanan skuad Kijang Emas pada minit ke-79.

Daniel Hakimi yang dijatuhkan pada minit ke-89 mendapat sepakan penalti daripada S.Logeswaran dan prospek baharu Perak itu berhasil menyudahkannya dengan tenang untuk memberi kemenangan 3-0 kepada TBG.

Kelincahan pemain itu jelas menutup ketiadaan Guaycochea sehingga ada juga penyokong memberinya gelaran 'Messi' baharu Liga Malaysia selepas persembahan mengagumkan pada babak kedua.

Berbekalkan tiga gol, pasukan TBG selepas ini akan melayan kunjungan skuad Seladang pula di Stadium Perak, Ipoh di Perak pada 30 November depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram