Teruskan momentum kemenangan, NFDP A buru 3 mata berdepan kelab Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Kesebelasan utama NFDP A yang diturunkan beraksi ketika berdepan Pattaya United.

SKUAD NFDP A meneruskan rentak kemenangan dalam kategori B-12 tahun Kejohanan Bola Sepak Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan kelab dari Thailand, Pattaya United, 3-0 pada aksi di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

Dua gol jaringan Badrul Hazim Hazimi dan Putra Rayyan Zaftran pada separuh masa kedua sudah cukup buat skuad kendalian Abdul Ghani Malik meraih mata penuh selepas dua perlawanan.

Keputusan itu juga mengulangi prestasi perlawanan pertama ketika berdepan Singapore FA dengan kemenangan bergaya, 5-2.

BACA LAGI: Mulakan langkah kanan benam kelab Jepun, AMD Dream tekad tewaskan Buriram United

BACA LAGI: Fizikal lawan bukan penghalang, AMD FUTURE mulakan Piala Supermokh 2024 dengan keputusan positif

WhatsApp Image 2024-11-15 at 10.58.09 (1)

Abdul Ghani memberikan kata-kata semangat pada rehat babak pertama.

Bagi Abdul Ghani, kemenangan kedua diraih memberikan motivasi penuh untuk pasukan memburu tiga mata berdepan kelab dari Indonesia, Asiop Academy, pada Sabtu.

“Syukur Alhamdulillah apa yang dirancang berjaya diterjemahkan barisan pemain dengan usaha yang berterusan sehingga gol berjaya dihasilkan.

“Saya selalu ingatkan pemain agar jangan mudah putus asa dan teruskan mencuba sehingga menjadi kenyataan, akhirnya tiga gol berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua,” katanya.

Ujarnya lagi, berdepan kelab dari Indonesia pada perlawanan ketiga, sudah tentu kemenangan hatrik menjadi sasaran.

“Mengatasi Pattaya United (3-0) menaikkan motivasi buat pemain dan memberi peluang buat saya menurunkan pemain-pemain yang belum beraksi untuk melihat serta menilai kemampuan mereka.

“Sebenarnya kesemua pemain kita mampu menggalas tugas yang diberikan,” katanya.

WhatsApp Image 2024-11-15 at 10.58.10 (2)

Barisan pemain NFDP A mampu menggalas tugas yang diberikan dengan baik ketika menentang Pattaya United.

Sementara itu, bagi Ketua jurulatih Pattaya United, Chokchai Tespan menyifatkan bukan tugas mudah buat barisan pemainnya berdepan NFDP A.

“Pemain saya agak tertekan dengan corak pemain lawan (NFDP A) dan dapat dilihat gagal menembusi bahagian tengah menyebab kami banyak bertahan.

“Kualiti permainan lawan pada hari ini (Jumaat) sangat berbeza berbanding semalam (Khamis) apabila menewaskan Asiop Academy (2-1), ini kami perlu akui memandangkan NFDP A adalah pasukan terbaik,” jelasnya.

Pada aksi yang berlangsung di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, tiada sebarang gol terhasil dengan permainan lebih banyak tertumpu di bahagian tengah dengan perlawanan yang seimbang.

Gol yang dinantikan NFDP A akhirnya muncul menerusi pemain gantian Badrul Hazim yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gawang Pattaya United, Khomkit Mangkasat pada minit ke-52.

Tuan rumah terus selesa di depan menerusi Putra Rayyan yang menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selang lima minit kemudian untuk kedudukan 2-0.

Ketika perlawanan bakal ditamatkan, Badrul Hazim sekali lagi mencetak gol peribadi kedua dan ketiga buat pasukan pada masa kecederaan babak kedua untuk kemenangan mutlak, 3-0 ke atas Pattaya United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram