PENDUDUK di kawasan Kampung Lok Kurai dekat Pulau Gaya, Kinabalu, Sabah menggesa kerajaan membaik pulih jambatan yang menghubungi laluan penduduk di perkampungan tersebut.
Gesaan tersebut dibuat susulan daripada kejadian jambatan runtuh sehingga mengakibatkan empat guru dan dua pelajar cedera pada Khamis.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika program Ziarah Cakna Pelajar ke perkampungan tersebut.
BACA LAGI: Tragedi teman ayah pergi bank, budak 7 tahun maut kena hempap bongkah simen di Melaka
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja kedai makan cedera lengan kanan kena tetak lelaki berparang di Raub
Menurut penduduk tempatan, Damin Majusi berkata, kebanyakan jambatan di kawasan itu sudah usang dan sememangnya perlu dibaik pulih.
"Saya merayu, tidak kisah parti pembangkang atau kerajaan. Tolong baiki jambatan usang ini, sudah tiba masanya tukar ke jambatan konkrit demi penduduk," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan kejadian terbabit ketika dihubungi The Star.
Katanya, rombongan itu melibatkan enam guru dan dua anggota polis. Tujuan mereka adalah untuk mengunjungi rumah pelajar bagi menangani isu ponteng sekolah di Kampung Lok Kurai.
"Jambatan tersebut tiba-tiba runtuh menyebabkan empat guru termasuk seorang pengetua terjatuh. Tiada air di bawahnya pada masa itu kerana air pasang surut.
“Kebetulan, dua pelajar yang ketika itu sedang melintasi jambatan turut terjatuh bersama mereka,” katanya pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, kesemua mangsa yang terjatuh dikejarkan ke hospital menaiki bot dari Pulau Gaya ke Kota Kinabalu.
"Kesemua mangsa yang terjatuh sudah mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Saya amat menghargai usaha murni pengetua dan guru-guru tetapi malangnya mereka mengalami kemalangan akibat jambatan kayu yang berkemungkinan usang.
"Saya merayu usaha membaiki dan menyelenggara jambatan di sekitar Pulau Gaya," katanya sambil menambah jambatan runtuh itu terletak di luar perkarangan sekolah.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram