
BUMI Korea Selatan sekali lagi menjadi badi buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila tewas 1-3 kepada Gwangju FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Yongin Mireu, Yongin, Korea Selatan pada Selasa.
Semasa kunjungan Harimau Selatan ke negara republik tersebut pada saingan ACL musim 2019 dan 2023, turut menyaksikan JDT tewas 0-2 di tangan Gyeongnam FC serta tumbang 1-3 ke atas Ulsan Hyundai.
Dalam perlawanan pada Selasa pula, penyerang sensasi wakil Gwangju iaitu Jasir Asani sememangnya menjadi ancaman buat barisan pertahanan JDT sehingga menyaksikan pemain antarabangsa Albania itu mudah mencetak dua gol.
BACA LAGI: Produk Man City antara bintang tumpuan Jeonbuk perlu disekat Selangor seawal minit pertama
BACA LAGI: 'Boleh menang tapi jadi seri' legend Selangor gesa Nidzam Jamil atasi masalah konsistensi
Gwangju meraih tiga gol apabila pertahanan Harimau Selatan, Park Jun-heong membuat kesilapan dengan menerjah jaringan pasukannya. Manakala, JDT sekadar meraih gol saguhati menerusi tandukan Feroz Baharudin.
Keputusan berkenaan membolehkan Gwangju mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Zon Timur dengan mengumpul sembilan mata manakala Harimau Selatan kekal dengan empat mata selepas mengharungi tiga perlawanan.
Walaupun JDT tidak membawa pulang sebarang mata namun persembahan taktikal digunakan Hector Bidoglio mendapat pujian peminat, lebih menarik apabila ada penyokong Selangor FC menyarankan agar Nidzam Jamil menggunakan corak permainan yang sama.
Pasukan Lembah Klang berkenaan akan bertemu wakil Korea Selatan iaitu Jeonbuk Hyundai bagi saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Rabu.
"Harap NJ (Nidzam Jamil) belajar taktikal permainan JDT. Perlawanan yang pantas dan menarik. Komitmen 200 peratus, seronok tengok permainan mereka. Yang penting bukan mentaliti santai," kata penyokong Selangor FC, Hisham Sulaiman.
"Keyakinan itu bagus tapi jangan rasa selesa. Rasa selesa ini akan makan diri, cuba tengok macam mana JDT bermain dengan mentaliti juara," bagi penyokong The Red Giants, Muhammad Amin Hussin.
"Harap semua pemain dan barisan kejurulatihan buatlah sesuatu seperti yang dirancang. Teruskan usahamu Nidzam Jamil," kata penyokong skuad Merah Kuning, Damar Wulan.
Skuad kendalian Nidzam yang kini masih memiliki rekod cemerlang apabila meraih empat mata selepas dua perlawanan pembukaan di ACL2 berpeluang menjadi pendahulu kumpulan dan mara ke pusingan 16 pasukan terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram