WALAUPUN pada awalnya jualan tiket perlawanan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC (TFC) tidak mendapat sambutan namun akhirnya lautan penyokong masih memenuhi Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Menerusi keputusan 1-0 yang memihak kepada Kedah, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan cukup menghiburkan sepanjang tempoh kira-kira 100 minit perlawanan.
Cubaan tepat dari Terengganu dinafikan oleh penjaga gol, Ifwat Akmal apabila persembahan cemerlangnya pada minit ke-25 memastikan skuad Sang Penyu tidak mendapatkan gol pertama mereka.
BACA LAGI: Anggap gol jumpa Kedah yang terbaik, Paulo Josue kekal komited bersama KL City
BACA LAGI: Jualan tiket lawan TFC rendah, 'signal' buat pengurusan Sang Kenari — Bekas pemain Kedah
Selepas itu, giliran Kedah pula cuba meraikan gol pertama apabila percubaan kaki kiri ketua pasukan Kedah, Sony Norde memberi sinar buat bola sepak Sang Kenari apabila meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-36 permainan.
Bagaimanapun, jaringan berkenaan ditarik balik selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan gol penyerang kelahiran Haiti itu sebagai ofsaid, ia sekali gus mengecewakan penyokong Hijau Kuning di Darul Aman.
Pada babak kecederaan separuh masa pertama, Amirul Hisyam Awang Kechik yang secara tidak sengaja melanggar kaki Akhyar Rashid menyaksikan badan pemain TFC itu terjatuh sehingga khidmat VAR sekali lagi digunakan.
Setelah mengambil masa kira-kira lima minit, pegawai pengadil yang bertugas memutuskan untuk tidak memberikan sepakan penalti kepada Terengganu, sekali gus melegakan kem Kedah.
Di penghujung babak pertama menyaksikan Kedah membuat kejutan apabila sepakan percuma Norde disambut oleh bek tengah, Cleyton dan meletakkan Kedah di hadapan.
Meskipun hanya mendapat satu jaringan di hadapan namun taktikal yang diaplikasikan Nafuzi Zain meraih pujian penyokong dengan rata-rata melihat para pemain Kedah bermain dengan motivasi tinggi walaupun masalah dalaman belum selesai sepenuhnya.
Kebijakan VAR digunakan lagi pada separuh masa kedua apabila kaki Norde dan penyerang Terengganu, Ismahil Akinade berlaga dałam kotak penalti mencetuskan perbincangan dałam kalangan pengadil perlawanan.
Jaringan Norde (kanan) ditarik balik selepas VAR mengesan ia sebagai ofsaid. — Facebook/KDAFC
Setelah kira-kira dua minit meneliti sedutan video, ketua pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkifli memutuskan untuk memberi sepakan percuma sahaja dan bukannya sepakan penalti.
Walaupun skuad kendalian Badrul Afzan Razali menguasai permainan pada babak kedua namun 53 minit yang diberikan tidak cukup untuk memberi gol penyamaan skuad Sang Penyu.
Lebih teruk lagi apabila ada penyokong yang melihat sesetengah pemain TFC seolah-olah tidak memberikan segala-galanya untuk membantu pasukan berkenaan meraih satu mata atau kemenangan kelima mereka.
“Macam malas pemain TFC ini main bola. Tengah sambil berjalan lemah, longlai. Bila tengah menyerang ke hadapan, yang penyerang pula di belakang,” kata penyokong TFC, Nazli Suhardi.
“Terengganu dah macam sinonim pula jadi pasukan lemah ini. Main macam tiada usaha nak menang, “ kata penyokong Sang Penyu, Putera Jingga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram