Tak minta banyak, Kepak Sang Kenari mahu penjelasan sebelum sambut seruan penuhkan Stadium Darul Aman


  • Podium
  • Khamis, 10 Okt 2024

Pihak pengurusan Kedah terus menyeru penyokong memenuhkan gelanggang sendiri musim ini. — Facebook/KDA FC

ISU pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC masih meruncing ketika ini memandangkan tiada sebarang perkembangan positif dikongsikan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar mahupun individu lain.

Meskipun terdapat ura-ura mengatakan kelab Utara tanah air berkenaan sudah menerima 'talian hayat' daripada pihak tidak dikenal pasti, situasi sama masih dirasai dalam kalangan pemain.

Jadi, dalam usaha memastikan skuad Sang Kenari dapat bertahan, mereka giat melancarkan kempen mengajak penyokong untuk hadir ke stadium dan membeli tiket dengan duit yang terkumpul dapat digunakan bagi tujuan tertentu.

BACA LAGI: 'Kekalkan Nidzam Jamil', fans Selangor tolak khabar angin Nafuzi Zain tinggal KDA sertai Gergasi Merah

BACA LAGI: 'Ada pemain dah buat aduan', PFAM akan beri notis buat KDA FC

Dalam satu hantaran terbaru di laman media sosial kelab, pasukan terbabit menyeru peminat setia Sang Kenari memenuhi Stadium Darul Aman, Kedah pada aksi akan datang menentang Terengganu FC pada 19 Oktober depan.

"Peluang beraksi di gelanggang sendiri amat dinantikan pihak pengurusan memandangkan aktiviti hari perlawanan menjana punca pendapatan dan aliran tunai segera kepada KDA FC.

"Pihak pengurusan menyeru kepada semua penyokong, demi kelangsungan dan kelestarian kewangan Sang Kenari, ayuh turun beramai-ramai ke Stadium Darul Aman bermula 19 Oktober ini," tulisnya.

Kempen tersebut sememangnya relevan untuk dilancarkan kerana setakat ini, Kedah masih bergelut untuk menarik penyokong pada setiap hari perlawanan yang sepatutnya menjadi 'lubuk' mengaut keuntungan.

Bagaimanapun, respons berbeza pula diterima kelab berkenaan apabila masing-masing beranggapan sokongan terbaik sudah diberikan, namun pihak pengurusan seperti tidak menghargainya.

2609012

Penyokong Sang Kenari meminta Daud Bakar menceritakan situasi sebenar kelab. Facebook/KDA FC

"Kalau pihak atasan pun buat diam sahaja, macam mana penyokong nak penuhkan stadium? Cubalah jelaskan perkembangan terkini KDA FC. Sudah ada jalan penyelesaian atau belum? Bukan mendiamkan diri sahaja," kata Putera Kedah FC.

"Letih dah rasanya, sudah beli tiket dan hadir ke stadium. Kalau kata tidak berjiwa Hijau Kuning lagi, tak tahu apa hendak dikatakan. Tetapi, cuba kongsi dari sudut pengurusan KDA pulak.

"Apa usaha yang sudah dibuat? Setakat seru penyokong sahaja, kami pun letih kerana masih tiada kesudahan. Mohon telus, bukan lalang kerana kami cuma mahu bukti daripada pihak pengurusan KDA," kata Mohd Abd Razak Ahmad.

Sebelum ini, Daud Bakar sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan penyokong untuk menjelaskan keadaan semasa pasukan dengan dia beberapa kali berjanji akan mencari penyelesaian.

Tetapi, sekiranya isu tersebut terus berulang, penyokong Hijau Kuning pasti tidak akan tertarik untuk hadir dan terus mengabaikan pujukan untuk ke 'rumah' Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram