
MELETAKKAN kenderaan di kawasan atau lokasi sehingga boleh menghalang laluan orang lain sememangnya satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Sama seperti kejadian yang berlaku melibatkan sebuah lori dan kereta di kawasan deretan premis di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.
Menerusi video tular di Facebook sejak Isnin, satu kemalangan kecil berlaku antara kedua-dua kenderaan tersebut di lorong belakang deretan premis dipercayai di Lagenda Suria, Hulu Langat.
BACA LAGI: Tambah stesen, guna peranti mudah alih bantu pengguna EV jimat masa pengecasan penuh
BACA LAGI: Isu 'double park' menjadi-jadi, ramai beri idea apa nak buat elak pemilik kenderaan kena sidai
Dalam video sama, lori terbabit dilihat cuba melalui lorong itu dan memsuki simpang sebelum melanggar cermin sisi kereta berkenaan.
Video itu sekali gus mendapat perhatian ramai termasuk warga maya yang seakan berpuas hati melihat tindakan pemandu lori tersebut kerana memberi pengajaran kepada pemilik kereta.
Rata-ratanya juga berang dengan pemilik kereta kerana meletakkan kenderaan bukan di tempat parkir disediakan oleh pihak berkuasa.
"Siapa suruh parkir di lorong, itu kan tempat lori-lori turunkan barang untuk pemilik kedai," tulis Samirah Badrom.
Melihat situasi itu sebagai musibah buat pemilik kereta, ada juga yang memberi pandangan bahawa kejadian itu boleh dilaporkan kepada pihak polis.
Menurut Norlela Raus, pemandu kereta yang dilanggar atau dirempuh lori di laluan tersebut boleh cuba membuat laporan polis.
"Buat je laporan polis, saya dulu di lebuh raya masa itu sesak, lori macam inilah buat pusingan kena besi belakang kereta, lampu belakang. Jangan tunggu, buat sahaja," katanya.
Namun, ada juga yang mengatakan bahawa tindakan tersebut tidak dapat menjamin jika pemandu terbabit boleh menuntut ganti rugi atau tidak.
"Tak boleh tuntut insurans pun, sebab pemilik kenderana cuai letak tempat yang tak selamat dan berisiko," komen Mohd Zainoor.
Dalam pada itu, seorang peguam Muhammad Akmal Arif Shamsul Kahar tampil memberi penjelasan lebih lanjut tentang kejadian tersebut.
Katanya, kedua-dua pemandu lori dan pemilik kereta boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam situasi yang dirakamkan, tetapi perlu dinilai secara lebih terperinci berdasarkan kepada situasi dan fakta kes.
"Pertama sekali, kita lihat kepada tindakan yang boleh diambil terhadap pemandu lori tersebut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
"Seksyen 43(1) Akta 333 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
"Seseorang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya atau tanpa pertimbangan munasabah terhadap orang lain yang menggunakan jalan tersebut melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum denda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 serta boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan," katanya kepada Majoriti.
Dalam konteks itu, Muhammad Akmal berkata, pemandu lori terbabit mungkin boleh dikenakan tindakan jika didapati gagal mengelak atau tidak memandu dengan berhati-hati walaupun terdapat halangan, seperti kereta yang diparkir secara salah.
Menurutnya lagi, jika pemandu lori tidak memandu dengan cermat dan tidak menggunakan pertimbangan munasabah semasa mengendalikan situasi tersebut, dia boleh dikenakan hukuman yang dinyatakan.
"Ini kerana, walaupun kereta diletakkan di lorong tersebut, pemandu lori perlu bertindak secara munasabah dan cermat supaya kedua-dua kenderaan tidak mengalami sebarang kerosakan.
"Seterusnya, kita lihat kepada tindakan terhadap pemandu kereta yang boleh diambil di bawah Seksyen 48(1) Akta 333. Seksyen 48(1) adalah berkaitan dengan kesalahan menghalang, mengganggu, atau menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain, termasuk meletakkan kenderaan di lokasi tidak sesuai.
"Seksyen 48(1) ini memperuntukkan mana-mana individu yang meletakkan kenderaan mereka dengan cara menghalang lalu lintas atau menyebabkan bahaya kepada orang lain boleh dikenakan tindakan.
"Jika mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor menyebabkan atau membenarkan kenderaan motor itu dihentikan di mana-mana jalan dalam apa jua kedudukan, keadaan atau hal keadaan yang mungkin menyebabkan bahaya, galangan serta kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna jalan lain atau kepada lalu lintas, dia melakukan suatu kesalahan.
"Dan apabila disabitkan, dia boleh didenda tidak kurang daripada RM1,00 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya," ujarnya.
Tambahnya, jika kereta tersebut diletakkan secara haram di lorong sempit hingga menyebabkan kesukaran kepada lori atau pengguna jalan lain melalui lorong tersebut, pemandu kereta boleh didakwa di bawah seksyen berkenaan.
Pihak mahkamah bagaimanapun akan menilai tahap kesalahan kedua-dua pihak berdasarkan keadaan kemalangan sebelum membuat keputusan.
"Sebelum melakukan sesuatu, ingatlah sebagai pengguna jalan raya, kita haruslah saling bertimbang rasa dan tidak menyusahkan pengguna jalan raya lain," nasihatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram