PENGGUNAAN media sosial menjadi antara cara paling berkesan dalam menyampaikan sesuatu mesej atau informasi kepada orang ramai.
Malah, cara itu juga terpakai kepada pihak-pihak tertentu untuk menyebarkan dakwah Islam.
Ia tidak dapat dinafikan apabila sebuah video dihasilkan pihak Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor sebelum ini tular dan mendapat perhatian masyarakat.
BACA LAGI: Status hanya guru praktikal, tapi Nisaa tak lokek ilmu agar guru lama guna teknologi terkini
BACA LAGI: Stadium jadi titik mula, penyokong Selangor FC terap budaya bersihkan sampah setiap kali lepas game
Video dimuat naik di akaun TikTok masjid tersebut memaparkan lakonan semula yang diadaptasikan daripada sebuah program bersiri televisyen iaitu Gerak Khas.
Menerusi video sepanjang satu minit itu juga, pihak masjid berjaya meraih sebanyak lebih 400,000 tontonan.
Menurut pencipta kandungan masjid berkenaan, Muhamad Amirul Azizi Roslan, 28, konsep mencari orang hilang dalam video itu adalah bertujuan bagi menyampaikan bahawa semakin berkurang jumlah individu datang ke masjid.
Menurutnya, idea menghasilkan video itu tercetus apabila melihat situasi semasa yang banyak melibatkan kes kehilangan di Malaysia.
Bukan itu sahaja, minatnya terhadap program bersiri Gerak Khas juga membuatkan dia rasa tertarik memasukkan elemen anggota polis dalam video tersebut.
“Tujuan kami sebenarnya bukan untuk tarik orang ke masjid semata-mata, tapi mahu kekalkan momentum individu yang selalu pergi masjid.
“Kami juga ikutkan mahu buat video yang libatkan anggota polis dengan kereta mereka semua pada awalnya, tetapi ia mengambil masa lama.
“Jadi, kami minta pertolongan seorang ahli masjid yang kebetulan memang anggota polis untuk berlakon sama,” katanya kepada Majoriti.
Muhamad Amirul Azizi
Katanya lagi, video itu juga berhasil memberi impak positif kepada orang ramai.
Menurut Amirul, jumlah saf dapat dilihat semakin bertambah berbanding sebelum kerap memuat naik video di TikTok.
Meskipun jumlahnya sedikit, namun perubahan ketara dapat dilihat terutamanya ketika menunaikan solat berjemaah.
“Sebelum ni kami buat video sebulan sekali dan jumlah saf tak sampai lapan.
“Jadi, kami buat keputusan untuk muat naik video lebih dan kerap, hasilnya ada nampak peningkatan dari lima ke lapan saf selepas tular beberapa video itu,” jelasnya.
Amirul pada masa sama berharap agar setiap kandungan video di TikTok mereka dapat menyebarkan lagi dakwah serta mengekalkan jumlah individu untuk pergi ke masjid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram