RUTIN harian yang padat tidak menghalang seorang guru pendidikan Sains Sukan untuk terus berkongsi ilmu mengenai seni mengait krusye kepada orang ramai.
Wanita berkenaan, Azmawati Ab Ghani merupakan seorang guru yang berkhidmat secara tetap dan sepenuh masa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kundang, Rawang, Selangor.
Meskipun sudah berpenat lelah menabur bakti buat sekolah tercinta dari pagi hingga ke tengah hari, Azmawati tetap gigih untuk meneruskan masa senggangnya di waktu petangnya bagi mengajar anak murid dalam kelas krusye secara sambilan.
BACA LAGI: Pernah lumpuh 8 bulan, hidap masalah tulang belakang tak halang usahawan OKU inovasi jus kurkumin
Beg tangan hasil mengait yang dibuat oleh Azmawati.
"Dalam seminggu sekali saya akan kerja secara sambilan daripada pukul 3 hingga 4 petang.
"Ada dua sekolah iaitu di The British International School KL - Lower Hill Campus, Bandar Utama, Selangor dan di Garden International School, Kuala Lumpur untuk ajar budak-budak dalam kokurikulum menerusi kelas krusye," katanya kepada Majoriti.
Ditanya mengenai caranya membahagikan masa, Azmawati tidak beranggapan perkara itu membebankan memandangkan dia suka mengajar orang lain dalam menimba ilmu mengenai aktiviti yang disukainya itu.
"Tidak jadi masalah untuk bahagi masa sebab saya bekerja secara tetap di sekolah kerajaan.
"Masa bekerja hanya dari pukul 7 pagi sampai pukul 1.30 hingga ke 2 petang, jadi sempatlah saya bergerak ke sekolah lain untuk ajar subjek kokurikulum.
"In case kalau ada sebarang mesyuarat jadi akan ada orang lain untuk gantikan saya jadi pengajar dalam aktiviti tersebut," katanya.
Terdapat pelbagai aksesori hasil krusye yang sudah dibuat seperti seperti beg tangan, bekas sarung botol air dan kain lap meja.
Barangan yang sudah dikait oleh Azmawati akan dijualnya menerusi Facebook selain kepada kawan-kawannya yang berminat dengan hasil air tangannya itu.
"Ramai berminat untuk beli hasil kerja saya jadi saya pun jual. Kalau biarkan dekat rumah terlalu banyak. Alhamdulillah, sudah lebih 100 yang terjual setakat ini," katanya.
Bekas botol air daripada jahitan krusye yang dihasilkan oleh Azmawati.
Tidak hanya itu, Azmawati juga mengadakan sesi kelas dalam talian yang dibuat ketika waktu lapang terutama pada waktu malam.
Lebih mengagumkan, ramai golongan sekitar umur 30 hingga 60 tahun yang menyertai kelas dalam talian yang dibuatnya.
"Biasanya saya buat menerusi Google Meet, kadang saya buat live di Facebook.
"Ya, umur 60 pun ada yang sertai kelas dalam talian, lagi-lagi yang baru lepas pencen. Mereka mahu ilmu baharu jadi sertailah kelas mengait.
"Boleh isi waktu lapang dengan mengait dan juga dapat elakkan stres," katanya.
Wanita berusia 45 tahun itu berkata, untuk orang yang tidak tahu sama sekali ilmu mengait adalah disarankan untuk menyertai kelas mengait krusye yang dibuat untuk golongan pemula.
"Ada kelas mengait untuk beginners atau pemula kerana saya mahu mereka cuba sendiri untuk mengait barangan yang mereka mahu.
"Kalau kelas dalam talian biasa akan buka video bersama untuk mengait bersama-sama," katanya yang mempelajari seni krusye ketika mengikuti subjek Kemahiran Hidup di sekolah.
Antara barangan mengait yang diperlukan adalah benang bulu; crochet hooks; stitch markers atau penanda jahitan; D Ring dan juga zip.
"Tak susah untuk belajar kerana di YouTube juga sudah banyak. Tetapi seseorang yang mahu belajar tidak boleh mudah putus asa kerana mengait perlukan kesabaran tinggi bagi menyiapkan sesuatu barangan yang diusahakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram