TINDAKAN Kelantan yang tidak lagi membenarkan sebarang bentuk aktiviti hiburan atau bunyi-bunyian muzik pada setiap malam Jumaat mendapat reaksi banyak pihak.
Seperti dilaporkan, peraturan larangan hiburan dan bunyi-bunyian muzik pada malam Jumaat di Kelantan bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah dilaksanakan sejak lebih 30 tahun yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, perkara itu termaktub dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.
BACA LAGI: Campur ayat al-Quran dengan muzik 'jedaq jedug' bukan cara mulia pikat cintai kalam suci
BACA LAGI: Hati-hati pilih pinggan mangkuk, 'fine bone' campuran tulang babi tak halal ikut syarak
Umat Islam perlulah memperbanyakkan ibadat pada hari Jumaat memandangkan ianya hari yang mulia di sisi Islam.
“Garis panduan ini bersesuaian dengan galakan sebagai Muslim untuk memperbanyakkan amal ibadah pada malam Jumaat," katanya.
Beliau berkata demikian susulan isu ujian sistem siar raya pada satu majlis berdekatan sebuah masjid di Kota Bharu baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Facebook, ramai masyarakat terutama penduduk Kelantan menyokong tindakan itu kerana dianggap sebagai satu perkara yang membawa ke arah kebaikan.
Hari Jumaat merupakan masa tepat untuk memperbanyakkan ibadat.
Antaranya, seorang pengguna, Rahadatul Rasyadah berasa bahawa malam Jumaat merupakan masa yang terbaik untuk memperbanyakkan beribadat kepada ALLAH.
"Alhamdulillah. Malam Jumaat ini elok baca surah Yasin, baca al-Quran, surah al-Kahfi, solat tahajud, perbanyakan zikir dan selawat sementara menunggu untuk menyambut hari Jumaat iaitu penghulu segala hari," katanya.
Rahadatul turut meluahkan rasa kagumnya apabila tindakan itu dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak.
"Yang paling terbaik adalah ianya berlaku atas kehendak sendiri bukan dipaksa-paksa.
"Apabila duduk di negeri lain tak kisah langsung dengar jiran memekak dan sembang pun boleh dengar satu blok," katanya.
Anak jati Kelantan, Din pula menjelaskan bahawa dia bersetuju dengan pengumuman itu kerana sejak dahulu lagi sudah tiada sebarang aktiviti hiburan pada malam Jumaat.
Segelintir individu memilih untuk menjadi penyanyi jalanan untuk mencari rezeki.
Bagaimanapun, Din mempersoalkan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang menyekat buskers untuk mencari rezeki, namun masih memberi kelulusan untuk konsert dijalankan.
"Kenapa penyanyi jalanan diharamkan untuk mengadakan persembahan bagi mencari rezeki sedangkan konsert-konsert dan pertandingan karaoke elok sahaja diberi kelulusan atau permit oleh MPKB-BRI.
"Malah tiada tindakan buat sesetengah tempat yang berkaraoke hingga melebihi pukul 12 malam, cuma yang kena tindakan hanya tertumpu pada busking atau penyanyi jalanan itu pun masih pilih kasih ada yang dihalalkan ada yang diharamkan," katanya.
Seorang pengguna, Muhamad Sahrel Sanip pula beranggapan bahawa negeri lain patut meniru tindakan mengharamkan hiburan pada malam Jumaat.
"Sepatutnya bukan Kelantan sahaja. Semua negeri perlu buat benda yang sama," katanya.
Pengguna yang lain, Azlan Omar Omar pula berharap agar pengharaman itu dibuat tidak kira sama ada malam ataupun siang.
"Apa pula malam Jumaat sahaja. Haramkan terus sebarang bentuk pentas hiburan tidak kira siang, malam, pagi atau petang kalau memang nak selamatkan orang Islam Kelantan daripada lalai agama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram