Boleh jadi haram, tukang lapah tak ada hak ambil daging tanpa izin pemilik


  • Mukmin
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah korban semasa Hari Raya Aidiladha.

IBADAH korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam.

Ibadah itu dilaksanakan selepas solat sunat Aidiladha sehingga sebelum terbenamnya matahari pada 13 Zulhijah.

Umat Islam pastinya tidak mahu melepaskan peluang itu sebagai tanda ketaatan kepada ALLAH SWT.

BACA LAGI: Sekalikan korban dan akikah? Ada sebab lebih afdal daging sembelihan diasingkan

BACA LAGI: Panjatkan banyak doa, ambil kelebihan puasa sunat hari Arafah

Banyak pakej korban di luar negara yang ditawarkan ketika ini. -Gambar hiasan

Korban merupakan sunnah muakkadah iaitu amalan sunnah yang amat digalakkan.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidatina Aisyah R.Anha. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Tiada amalan anak Adam yang lebih dicintai ALLAH SWT pada hari Aidiladha selain dari menumpahkan darah iaitu menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat kelak lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya (sebagai saksi). Dan sesungguhnya darah sembelihan korban itu yang jatuh ia daripada ALLAH pada suatu tempat kemuliaan sebelum ia jatuh ke bumi. Maka tenanglah jiwamu dengan melaksanakannya". [Hadis Riwayat At-Tirmidzi: 1498]

Dalam Islam, haiwan yang kebiasaannya dikorban termasuk kambing, lembu, biri-biri atau unta.

Bagaimanapun, umat Islam perlulah peka dalam soal pembahagian daging korban supaya terelak memakan sesuatu yang menjadi haram.

Menerusi satu hantaran di laman X, seorang penceramah bebas, Faisal Rahim menjelaskan bahawa individu yang mengambil daging korban tanpa izin pemiliknya boleh jadi haram kerana disifatkan sebagai mencuri.

"Ramai masih tak faham, daging korban adalah milik penama korban.

"Terpulang mereka nak bersedekah 100 peratus, ambil satu pertiga dan lain-lain. Bakinya baru kita boleh agihkan," katanya.

Selain itu, Faisal turut menjelaskan bahawa daging sembelihan yang dikorbankan tidak boleh dijadikan sebagai upah bagi orang yang menyembelih atau melakukan kerja kasar.

Ini kerana daging korban itu dianggap suci dan wajib diagihkan kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan termasuk orang awam.

Disebut dalam sebuah hadis Nabi SAW, daripada Ali R.A, katanya:

أمرنِي النبِيُ صلى اللهُ عليهِ وسلم أن أقُوم على البُدنِ, ولا أُعطِي عليها شيئا فِي جِزارتِها.

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkanku untuk mengurus (penyembelihan) unta, dan aku (diperintahkan) untuk tidak boleh memberikan sedikit pun daripadanya sebagai upah penyembelihannya.” [Riwayat al-Bukhari (1716) dan Muslim (1317)]

Walaupun tidak boleh dijadikan upah, pemberian daging sembelihan sebagai hadiah kepada tukang sembelih atau tukang lapah selepas ia diagihkan kepada golongan yang berhak adalah dibenarkan.

Ini boleh dilakukan selepas memastikan daging itu telah dibahagikan dengan betul dan mencukupi keperluan asnaf. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram