Panjatkan banyak doa, ambil kelebihan puasa sunat hari Arafah


  • Mukmin
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Hari Arafah merupakan hari yang sangat penting bagi umat Islam di seluruh dunia.

UMAT Islam kini berada di awal Zulhijah yang mana keistimewaannya amat besar di sisi ALLAH.

Ia merupakan bulan ke-12 iaitu bulan yang terakhir dalam kalendar Hijrah.

10 hari pertama bulan Zulhijah dianggap sebagai hari-hari yang paling mulia dan diberkati terutama pada 9 Zulhijah iaitu hari Arafah.

BACA LAGI: Tersesat mencari rezeki? Jangan tinggal solat, amalkan doa ini raih keberkatan dalam kehidupan

BACA LAGI: 'Elok lepas Subuh dan Maghrib dibaca,' mufti kongsi amalan elak gangguan seperti kes anak 'bermain' dengan makhluk halus

Amalan soleh yang dilakukan dalam hari Arafah sangat digalakkan dan mempunyai ganjaran yang besar.

WhatsApp Image 2024-06-11 at 9.11.10 PM

1. Rukun haji

Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji.

Kebiasaannya, jemaah haji berkumpul di padang Arafah untuk melaksanakan wukuf, salah satu rukun haji yang paling penting.

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (814)]

2. Hari agama disempurnakan

Peristiwa penting yang berlaku pada hari Arafah adalah turunnya salah satu ayat terakhir al-Quran yang menyatakan kesempurnaan agama Islam.

Ayat ketiga dalam Surah al-Ma'idah:

Maksudnya: "Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agamamu."

Ayat ini diturunkan pada 9 Zulhijah iaitu ketika Nabi Muhammad SAW berada di Padang Arafah ketika menunaikan haji wada' (ziarah perpisahan) pada tahun 10 Hijrah.

WhatsApp Image 2024-06-11 at 9.12.53 PM

Hari Arafah merupakan masa tepat untuk memohon doa kepada ALLAH.

3. Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam

Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari Arafah, hari korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”. [Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)]

4. Hari Arafah adalah hari penyaksian

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اليَوْمُ المَوْعُودُ يَوْمُ القِيَامَةِ، وَاليَوْمُ المَشْهُودُ يَوْمُ عَرَفَةَ، وَالشَّاهِدُ يَوْمُ الجُمُعَةِ

Maksudnya: “Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat”. [Riwayat al-Tirmizi (3262)]

Eid Mubarak Muslim family having Iftar dinner eating dates to break feast. Eating traditional food during Ramadan feasting month at home. The Islamic Halal Eating and Drinking at modern western Islam

Orang yang tidak menunaikan haji dianjurkan untuk berpuasa pada hari Arafah.

5. Berpuasa

Puasa Arafah merupakan salah satu amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam terutama bagi mereka yang tidak menunaikan haji.

Puasa pada hari tersebut boleh menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Daripada Abi Qatadah RA, apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah Rasulullah SAW bersabda:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. [Riwayat Muslim (1977)]

Tidak hanya itu, puasa ini mempunyai banyak fadhilat dan faedah baik dari sudut rohani mahupun kesihatan.

6. Hari keampunan dan pelepasan dari api neraka

Pada hari Arafah, para jemaah haji berkumpul di Padang Arafah untuk berdoa agar memperoleh keampunan daripada ALLAH SWT.

Berdoa sangat dianjurkan kerana hari itu adalah antara waktu yang paling mustajab.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]

Tidak hanya itu, disebut daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)]. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram