[VIDEO] 'Jadi pembaca buku tak cukup lahirkan kesedaran sivik', pengunjung sedih PBAKL berakhir dengan longgokan sampah


  • Massa
  • Selasa, 04 Jun 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan sekitar kiosk jualan buku di PBAKL yang berakhir pada Ahad lalu.

SAMBUTAN Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang bermula pada 24 Mei hingga Ahad lalu menyaksikan kehadiran lebih 1.8 juta pengunjung yang majoritinya ialah golongan muda.

PBAKL ke-41 itu juga sekali gus berjaya memecah rekod kerana melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu hanya 1.5 juta pengunjung.

Ia bagaimanapun tidak berakhir dengan begitu baik apabila beberapa kios jualan buku itu dipenuhi dengan longgokan sampah.

BACA LAGI: Tiada kutipan bulanan nak cop parkir, mengadu ke PBT pun buat tak tahu — Penduduk PPR

BACA LAGI: Jangan hilang ditelan zaman, premis kecil boleh jadi contoh perkasa jawi di papan iklan seperti Terengganu, Kelantan dan Perlis

Menerusi video dimuat naik di Facebook Dzulkhairi Khairi pada Selasa, sampah dibuang secara merata di sekitar kawasan tersebut sehingga menimbulkan pemandangan tidak indah kepada orang awam.

Dalam hantaran itu, dia meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan segelintir penjual buku yang membiarkan sampah plastik dan kertas di kios masing-masing begitu sahaja.

"Sedih tidak terlukis. Setelah berakhirnya PBAKL, fenomena yang sama saya saksikan dalam Pesta Buku Antarabangsa Selangor berulang.

"Fenomena yang melukis separit kekecewaan dalam diri. Mereka datang membawa buku untuk dijual dan mereka pergi meninggalkan sampah sarap.

"Bukan pembaca, hanya penjual yang menjadikan buku sebagai jambatan keduniaan," tulisnya.

Mengulas lanjut, perkara itu juga menerima pelbagai reaksi daripada warga maya dan menimbulkan tanda tanya kepada mereka.

Seorang pengguna akaun Facebook Rohaizah Khamis berkata, ia berkemungkinan berlaku disebabkan mentaliti masyarakat terhadap pekerja pembersihan yang diupah oleh pihak penganjur.

b416

Ada segelintir penjual buku bertindak mengemas dan membuang sampah di kiosnya. — Facebook/Bonda Nor

Dia beranggapan bahawa semua individu tidak kira penjual mahupun pengunjung hanya mengharapkan orang lain untuk membersihkan sampah tersebut.

"Sebab apa jadi begini? Mereka fikir ada orang akan kemaskan untuk mereka. Orang itu sudah dibayar gaji untuk buat kerja pembersihan.

"Kalau saya yang buka booth di situ, semua kawasan saya akan pastikan semua bersih. Saya akan minta semua bersihkan, saya tunjukkan contoh dahulu," sarannya.

"Rasanya kita semua boleh buat kesimpulan bahawa jadi pembaca sahaja tak cukup untuk timbulkan kesedaran sivik," komen Ismail Baharuddin.

Namun, tidak dinafikan ada juga sesetengah penjual buku yang peka dengan perkara tersebut dan mengambil langkah membuang serta mengemas kios jualannya sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram