Jangan hilang ditelan zaman, premis kecil boleh jadi contoh perkasa jawi di papan iklan seperti Terengganu, Kelantan dan Perlis


  • Massa
  • Sabtu, 01 Jun 2024

Kebanyakan para peniaga di Payang Walk, Terengganu menggunakan tulisan jawi pada papan iklan mereka.

TULISAN jawi pernah digunakan secara meluas di Malaysia dalam pelbagai urusan termasuk pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan pada awal abad ke-15.

Penulisan jawi yang digunakan khusus untuk bahasa Melayu itu berkembang seiring dengan perkembangan Islam di negara ini.

Penggunaan sebagai tulisan utama lebih 1,000 tahun lalu itu kemudiannya secara perlahan berubah kepada tulisan rumi iaitu mengikut abjad biasa akibat pengaruh kedatangan penjajah.

BACA LAGI: Kreativiti guru dituntut cipta inovasi bantu pelajar lemah, rasa diri tak dihargai

BACA LAGI: Sekolah berasrama penuh berstatus elit di Ipoh didakwa ada 'kuasa' pilih pengetua, ibu bapa minta KPM kawal pertukaran elak jejas prestasi pelajar

1024px-Papan_tanda_nama_jalan_dalam_tulisan_Jawi_dan_Rumi

Tulisan Jawi turut digunakan pada papan tanda jalan. — Gambar hiasan

Ia juga mula merosot apabila Akta Bahasa Kebangsaan diwartakan pada 1963 dengan memutuskan bahawa tulisan rasmi negara Malaysia ialah tulisan rumi.

Meskipun begitu, penggunaan jawi dilihat masih diguna dan diperkasakan di beberapa negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Perlis.

Mengimbau kembali sejarah jawi di Terengganu, berdasarkan Jurnal Islam dan Masyarakat diterbitkan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, budaya penulisan masyarakat di negeri itu telah menjadikan ia sebagai tulisan rasmi kerajaan negeri sejak abad ke-13 Masihi hingga pertengahan abad ke-20 Masihi dan menjadi budaya warisan Terengganu yang asli.

Antara sejarah perkembangan tulisan jawi di negeri Pantai Timur itu yang masih tersemat adalah melalui prasasti tertua Batu Bersurat Terengganu.

Sistem tulisan jawi yang ada pada permukaan batu tersebut sekali gus membuktikan bahawa masyarakat Terengganu pada waktu itu sudah menguasai sistem tulisan berasaskan huruf Arab seperti dalam al-Quran.

msg1050426791-33044

Antara premis yang menggunakan tulisan jawi pada menu mereka.

Namun, pada 2015, Pihak Berkuasa Negeri membuat keputusan mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada semua iklan termasuk papan iklan billboard, banting dan poster.

Hampir sedekad berlalu, penguatkuasaan itu masih dituruti dan diamalkan termasuk para peniaga kecil-kecilan.

Berdasarkan tinjauan Majoriti di daerah Kuala Terengganu pada Isnin lalu, kelihatan papan-papan tanda di lebuh raya, papan iklan premis kecil di Payang Walk juga menggunakan tulisan jawi.

Bagaimanapun, Kelantan dan Perlis juga mengambil pendekatan sama bagi mengelakkan daripada ia terus ditelan zaman.

Bermula 1 Februari lalu, kerajaan Perlis mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada setiap papan tanda premis perniagaan di negeri itu.

msg1050426791-33045

Tulisan jawi juga digunakan pada papan iklan besar di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, penguatkuasaan turut membabitkan papan tanda iklan atau billboard serta papan tanda jalan di taman perumahan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pada 2019 menyatakan bahawa tulisan jawi sudah lama menjadi identiti dalam masyarakat Kelantan.

Beliau pada ketika itu turut menyokong keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan tulisan khat jawi dalam subjek bahasa Melayu tahun 4.

Kebanyakan premis di ketiga-tiga negeri itu juga dilihat menyahut seruan tersebut demi memartabatkan tradisi dan warisan Melayu.

Justeru, mereka sekali gus dapat menjadi contoh terbaik kepada pihak berkuasa di negeri lain untuk melakukan perkara sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram