Tiada kutipan bulanan nak cop parkir, mengadu ke PBT pun buat tak tahu — Penduduk PPR


  • Massa
  • Ahad, 02 Jun 2024

Penduduk meletakkan pelbagai jenis objek di kotak parkir sebagai tanda ia sudah mempunyai pemilik tetap.

ISU 'cop parkir' di kawasan perumahan kos rendah seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan pangsapuri seperti tidak menemukan titik noktah.

Meskipun ia boleh diatasi dengan membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun masih ada segelintir penduduk yang mengambil remeh tentang perkara tersebut.

Masalah itu sekali gus menyukarkan untuk penduduk baharu mencari parkir bagi kenderaan masing-masing.

BACA LAGI: Lelaki cop parkir mengamuk, dakwa kereta dilanggar di mall terkemuka KL

BACA LAGI: Pemandu BMW tak sedar diri salah 'park' terlalu dekat kereta sebelah

msg1050426791-33082

Baldi atau tong cat terpakai antara objek yang biasa digunakan segelintir penduduk untuk 'cop parkir'.

Berdasarkan hasil tinjauan Majoriti di beberapa buah pangsapuri dan PPR di kawasan Lembah Klang, kelihatan pelbagai objek yang digunakan penduduk untuk menanda parkir.

Antaranya adalah kerusi, meja kecil, kon, pasu bunga, baldi, tong cat terpakai dan motosikal.

Tindakan itu sekali gus membuktikan sikap mementingkan diri dalam kalangan komuniti penduduk di kawasan rumah berkenaan.

Malah, menurut seorang penduduk yang tidak mahu identitinya didedahkan, masalah tersebut seakan-akan menjadi suatu perkara normal.

msg1050426791-33084

Kawasan parkir kenderaan yang tidak mencukupi sehingga menyebabkan masalah tersebut berlanjutan.

Katanya, pemilik kenderaan kebiasaannya berani melakukan perkara itu kerana tidak diawasi dan dikenakan sebarang bayaran bulanan.

"Ini rumah biasa, tiada pengawal keselamatan dan tiada sewa bulanan pun dikenakan untuk penduduk.

"Parkir di kawasan rumah adalah secara terbuka, siapa cepat dia dapat," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya lagi, kebanyakan penduduk yang menetap lebih lama 'berani' bertindak sedemikian kerana berasa selesa dengan kawasan yang dipilih.

Dia turut mendedahkan bahawa penduduk lama dan baharu perlu berkompromi sesama sendiri untuk mengelakkan pergaduhan atau perebutan parkir.

msg1050426791-33085

Perbuatan tersebut juga merupakan satu kesalahan yang boleh didenda dan dipenjara. — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Dia bagaimanapun tidak menafikan bahawa masalah itu berpunca daripada jumlah parkir yang tidak mencukupi.

"Mana tidaknya, ada penduduk yang menetap satu rumah tapi bawa kenderaan sampai tiga dan ambil parkir lebih daripada satu.

"Kadang-kadang, ada juga yang tinggalkan motosikal atau kereta rosak lama dalam kotak parkir ketika pulang kampung," katanya.

Isu tersebut juga bukan baharu berlaku manakala denda ditetapkan oleh pihak berkuasa juga dilihat seolah-olah sekadar jalan sementara untuk para penduduk.

Untuk rekod, perbuatan sengaja 'cop parkir' merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Individu yang bertindak demikian juga boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, mereka boleh didenda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram