PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) merupakan antara acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan rakyat Malaysia khususnya pencinta buku.
Acara itu bukan sahaja mengumpulkan karya penulis tanah air, malah ia turut membuka penyertaan kepada pengusaha buku luar negara seperti Indonesia, Thailand, Jepun, Vietnam dan Korea Selatan.
Sehubungan dengan kerjasama itu, penganjur akan meletakkan gambar bendera Malaysia beserta negara luar yang terlibat pada kain rentang yang diletakkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Bagaimanapun, baru-baru ini seorang pengguna Facebook, Muhammad Haziq Hishamudin memuat naik hantaran mengenai kesilapan penganjur PBAKL 2023 yang tersalah mencetak gambar bendera Filipina dan menggantikannya dengan bendera Republik Czech.
Ini dipercayai terjadi berikutan kedua-dua bendera mempunyai lakaran dan warna yang hampir sama.
Perbezaan antara bendera Filipina dengan Republik Czech.
Menjengah ke ruangan komen, ada yang mempersoalkan bagaimana penganjur bagi program antarabangsa boleh membuat kesilapan seperti itu.
"Macam mana penganjur PBAKL 2023 boleh tersalah cetak bendera (Filipina) di kain rentang ni?" soal Muhammad Haziq Hishamudin.
"Penganjur festival antarabangsa (pun) tak boleh beza Filipina dan Republik Czech?" soal Wan Shafiq.
"Ironik, mungkin pesta buku tu tidak melibatkan buku-buku berkaitan geografi dan bendera," kata Muhammad Hafizi Ibrahim secara berseloroh.
Untuk rekod, PBAKL berlangsung bermula 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di WTC KL.
Belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan penganjur setakat berita ini ditulis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram