TIADA angin tiada ribut, netizen tiba-tiba digemparkan dengan sebuah teater amal bertajuk Najis Jadi Teman yang akan dipentaskan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 22 Jun depan.
Teater itu dibuat bersempena sambutan ulang tahun syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd yang ke-30.
Ketua Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, teater itu dapat membawa penonton untuk menelusuri perjalanan dan cabaran tentang proses rawatan kumbahan.
BACA LAGI: Lembut tapi tegas, Sazzy Falak kongsi penat lelah dan kasih sayang besarkan anak remaja
BACA LAGI: Pernah terima 'mesej nakal', Atilia tetap bersemangat ajar peminat cilik senaman yoga demi awet muda
Teater Najis Jadi Teman menelusuri perjalanan dan cabaran tentang proses rawatan kumbahan.
"Harapnya penonton dapat memahami tugas-tugas kami di IWK. Kerja kotor, sukar dan berbahaya yang sering dilupakan.
"Sebahagian besar kerja kami berjalan di belakang tabir demi memastikan sistem pembetungan negara dapat beroperasi dengan baik," katanya kepada Majoriti.
Wan Esuriyanti juga menjelaskan bahawa pihaknya tidak bimbang dengan persepsi orang awam berkait tajuk Najis Jadi Teman yang sudah ditetapkan.
"Sebagai satu metafora, bukannya kita nak berteman dengan najis tetapi untuk tunjuk bahawa itulah situasi yang pekerja IWK berhadapan setiap hari," katanya.
Lebih menarik, teater yang istimewa itu membawakan satu perasaan luar biasa buat penonton dengan memasukkan unsur tarian dan nyanyian dalam persembahan yang bakal ditayangkan itu.
"Ada aksi unik, tarian dan nyanyian sedikit tetapi dalam masa yang sama ada elemen mendidik tentang kerja-kerja IWK yang bergelumang dengan air sisa kumbahan.
"Dengan cara hiburan macam ini orang awam lebih senang untuk memahami dan tak bosan," katanya.
Ramai tidak menyedari tentang kepayahan kerja-kerja pembaikan dalam lurang pembetungan (manhole).
Berhibur sambil beramal, semua hasil jualan tiket teater yang ditayangkan itu akan disalurkan kepada Yayasan Chow Kit (YCK) untuk menguruskan kanak-kanak yang memerlukan.
"YCK merupakan rakan kolaborasi kami yang mendukung untuk hidupkan kisah IWK itu melalui ekspresi kreatif yang membolehkan ia dipentaskan untuk ditonton ramai.
"Kami juga menyantuni masyarakat dalam apa jua bidang atau keadaan," katanya.
Teater interaktif itu diarahkan oleh Razif Hashim, yang berpengalaman dalam industri hiburan khususnya dalam pementasan teater.
Beliau disokong oleh krew dari Wayang Kitchen, sebuah syarikat teater antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pementasan teater berkonsepkan makanan hidangan sejak 2019.
Teater amal itu akan mempersembahkan penyanyi dan penulis lirik, Atilia Haron, bersama pelakon, Alfred Loh dan Phraveen Arikiah sebagai pelakon utama.
Para pelakon utama juga akan dibantu oleh barisan anak-anak daripada Yayasan Chow Kit, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang menyokong kanak-kanak dan remaja berisiko di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram