'Semua takut-takut', kekalahan pertama di Sepanyol jadi petanda positif buat Arif Aiman


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Antara aksi Arif Aiman ketika menentang pemain dari pasukan divisyen kedua Sepanyol itu. — Facebook/JDT

RENTAK kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Sepanyol tercalar selepas tewas dengan keputusan 2-0 pada aksi kelima menentang kelab Sepanyol, CD Eldense di Estadio Municipal Nuevo Pepico Amat, Valencia, Sepanyol pada Khamis.

Eldense yang hadir dengan reputasi sebagai pasukan divisyen kedua La Liga membuatkan Hector Bidoglio tampil menurunkan barisan skuad pertama seperti Matthew Davies, Jordi Amat, Arif Aiman Hanapi dan tonggak baharu iaitu Jalil Elias serta Murilo Henrique.

Babak pertama Harimau Selatan menyaksikan juara bertahan Liga Super itu memberi cabaran sengit kepada Eldense sehingga jentera serangan skuad Deportivo sukar untuk mendapatkan gol pertama mereka.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan tuan rumah membuka akaun jaringan menerusi penyerang sayap mereka, Joel Jolquera pada minit ke-52 dan lapan minit kemudian, Eldense menggandakan jaringan menerusi Marco Doue.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sia-sia, mentaliti sama seperti Arif Aiman bikin akademi JDT tuai hasil di bumi Sepanyol

maugSGhashg

Kesebelasan utama JDT menentang Eldense. — Facebook/JDT

BACA LAGI: Prestasi tiada kaitan dengan warna rambut, ex coach Harimau Muda bidas Subramaniam

Walaupun pahit untuk ditelan namun kekalahan pertama pada kempen pramusim itu memberi pengalaman berbeza buat Harimau Selatan dan ia adalah alternatif terbaik untuk mengesan kekurangan yang perlu dibaiki sebelum liga bermula.

Bagi penyokong Harimau Selatan, kekalahan aksi pramusim itu tidak membimbangkan mereka, sebaliknya mengambil positif dan memahami tentang kepenatan yang perlu dilalui pemain JDT.

"Seperti yang dijangka inilah pasukan paling sukar JDT lawan sebab ini adalah kelab yang bermain di Segunda Divion. Satu tahap di bawah La Liga dengan Eldense juga berada di kedudukan pertengahan liga," kata penyokong JDT, Yus Rizal.

"Okaylah itu. Nampak juga bahagian pertahanan lawan beri saingan kepada Arif Aiman. Daripada pertahanan Liga Malaysia semua tak boleh nak tackle Arif Aiman. Semua takut-takut," bagi penyokong Harimau Selatan, AK.

"Dapat juga merasai kekalahan. Nak harap pasukan Liga Malaysia untuk kalahkan JDT memang tidak lah. Kadang-kadang kekalahan itu perlu untuk belajar di mana kelemahan pertahanan dan ketumpulan jentera serangan pasukan," pendapat dari penyokong JDT, Azlan Zainal.

Jika lihat dalam saingan domestik, kebanyakan pemain pertahanan sukar untuk merampas bola daripada Arif Aiman dan keupayaan menggeleceknya membuatkan tonggak kebangsaan itu mudah memperdaya lawan.

Dalam pada itu, dua perlawanan akhir akan berlangsung melibatkan JDT dan UD Castellonense dan juga CF Benidorm. Dua aksi berbaki itu pastinya cukup sebagai persediaan Harimau Selatan menentang Selangor FC bagi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram