[VIDEO] Tak sia-sia, mentaliti sama seperti Arif Aiman bikin akademi JDT tuai hasil di bumi Sepanyol


  • Podium
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Aksi Pavithran (kanan) ketika pramusim di Sepanyol. Turut menyertai ialah Ridzwan Rosli (JDT IV); Zulhilmi Sharani dari JDT III dan dua pemain dari skuad Piala MFL iaitu Hafiz Azizi Zamri dan Gabriel.

KEMPEN pramusim Johor Darul Ta'zim (JDT) di bumi Sepanyol boleh dikatakan berada dalam keadaan cemerlang setakat lima perlawanan apabila Harimau Selatan mencatatkan kemenangan dan hanya merekodkan satu kekalahan.

Kekalahan pertama Harimau Selatan direkodkan ketika skuad kendalian Hector Bidoglio menentang kelab Sepanyol, CD Eldense yang menyaksikan pasukan divisyen kedua itu meraih kemenangan 2-0 menerusi ledakan Joel Jolquera dan Marco Doue pada Khamis.

Perlawanan sebelumnya, juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut berkenaan berjaya menundukkan cabaran CD Alcoyano dengan keputusan tipis 2-1 hasil ledakan Ramadhan Saifullah dan juga perancang, Nazmi Faiz Mansor.

Kemenangan besar juara bertahan Piala Malaysia itu ketika membelasah Club Costa City 7-0 di Stadium Olimpik Camilo Cano, Alicante pada Isnin dengan beberapa pemain Akademi JDT tampil membuka akaun jaringan bersama skuad senior.

Antara pemain muda yang bijak memanfaatkan peluang kempen pramusim di Sepanyol dan semakin menunjukkan hasil adalah pemain ubi muda dari skuad belia, G. Pavithran dan dua pemain JDT II iaitu Ramadhan serta Gabriel Nistelrooy.

BACA LAGI: Tanpa Brendan Gan, Selangor beri bayangan kapten Gergasi Merah baharu

1) Ramadhan Saifullah

Penyerang sayap kanan Harimau Selatan, Ramadhan mungkin tidak sebaya pemain muda lain namun graduan JDT yang diserap ke skuad utama pada 2020 itu mempunyai fasa prestasi tidak menentu sehingga kadang kelibatnya tidak dilihat dalam saingan Liga Super.

Pada musim 2023 menyaksikan pemain kelahiran Johor Bahru itu hanya tampil dalam tujuh perlawanan Liga Super sahaja dan hanya menyumbang satu hantaran bantuan ketika aksi bertemu Kuala Lumpur City FC, yang menyaksikan Harimau Selatan menang 3-0.

Walaupun dengan persaingan hebat antara pemain dalam skuad Harimau Selatan dan kekurangan minit permainan, Ramadhan tetap setia menunggu masanya untuk beraksi secara konsisten bersama skuad utama dan kembali memberi tandingan kepada pemain sayap lain.

Kesabaran pemain berketinggian 1.70 meter itu semakin berbaloi selepas dia dijangka akan berada dalam perancangan utama Bidoglio apabila meledak hatrik pada aksi bertemu Costa City dan satu gol ketika berjumpa Alcoyano.

2) Gabriel Nistelrooy

WhatsApp Image 2024-04-26 at 00.11.13

Gabriel merekodkan dua gol dalam aksi pramusim di Sepanyol setakat ini.

Penyerang JDT II, Gabriel Nistelrooy mula menjadi igauan penyokong apabila dia mencatatkan rekod baik bersama pasukan simpanan Harimau Selatan dengan dia mencatatkan 13 gol dalam 19 perlawanan Piala MFL pada musim lepas.

Pemain berasal dari Miri, Sarawak itu juga mempamerkan kematangan setiap kali beraksi dan ia menjadi asbab Gabriel mendapat kepercayaan dari kejurulatihan pasukan utama untuk menyertai latihan skuad senior.

Dari sekadar latihan sehingga dibawa ke Sepanyol untuk menimba pengalaman, penyerang berusia 24 tahun dijangka berada dalam senarai pemain muda yang akan debut bersama skuad utama pada musim ini.

Untuk rekod, Gabriel mencetak dua gol peribadi bersama pasukan utama ketika aksi pramusim menentang Costa City. Peluang yang diberikan oleh Bidoglio menunjukkan anak kaum Iban itu mempunyai mentaliti seperti Arif Aiman kerana bijak mengambil peluang setiap kali diberikan.

BACA LAGI: Anak buah Tan Cheng Hoe antara 3 kelab boleh uji persiapan Gergasi Merah

3) G. Pavithran

WhatsApp Image 2024-04-26 at 00.11.14

Pavithran dikatakan jelmaan Kunanlan.

Selepas Ramadhan dan Gabriel, prospek Piala Belia iaitu G. Pavithran juga menunjukkan aksi mengagumkan pada pramusim di Sepanyol. Pemain muda semakin membuktikan kualiti ubi Akademi JDT boleh bersaing dengan tonggak import.

Pavithran boleh dilabel sebagai bintang dalam pembikinan Harimau Selatan selepas pemain berusia 19 tahun berkenaan merupakan watak utama yang membantu skuad JDT IV menjadi naib johan Piala Belia 2023.

Kehadiran pemain berusia 19 tahun itu juga membuatkan sesetengah penyokong Harimau Selatan melihatnya mempunyai persamaan seperti legenda Harimau Selatan, S. Kunanlan kerana berperanan sebagai pemain tengah.

Pemain itu bagaimanapun masih perlu menambah baik dari segi larian, mengelecek, kawalan bola serta hantaran bola kepada rakan sepasukan selain kecergasan diri bagi mendapatkan kepercayaan jurulatih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram