MENJALANKAN perniagaan dalam keadaan ekonomi tidak stabil merupakan antara cabaran terutamanya kepada para usahawan kecil tempatan.
Pelbagai luahan kesedihan dikongsikan rata-rata peniaga yang mengatakan bahawa sukar melariskan jualan lebih-lebih lagi pada Ramadan kali ini.
Tidak terkecuali, seorang peniaga meluahkan rasa sebaknya selepas melihat nasib rakan dalam industri sama yang begitu menyedihkan.
BACA LAGI: 'See you in court', Sanusi mahu saman warganet buat tuduhan melulu isu Kedah Agro
Tangkap layar video memaparkan gerai jualan penjual kasut di bazar raya di Kelantan.
Ia meraih perhatian ramai apabila sebuah video dimuat naiknya di TikTok @aifaazlan pada Ahad lepas di sebuah bazar menjual barang keperluan menyambut Aidilfitri di Kelantan.
Dalam video tersebut, jualan seorang lelaki warga emas menjual pelbagai jenis kasut itu tidak laris.
Menurut Aifa, hanya dua pasang kasut terjual ketika itu di tambah pula dengan bayaran sewa tapak jualan yang terlalu tinggi.
"Kesian tengok pakcik ni,sewa tapak RM10,000 ambil empat tapak. Jualan baru dua pasang kasut. Kuasa membeli tu kurang.
"Tak tahulah nak salahkan TikTok ke Shoppee, dalam masa yang sama orang dalam fasa jimat. Peniaga-peniaga sekarang dah main harga, turunkan harga dalam talian. Tak tahulah ada untung entah tidak," luahnya.
Katanya, dia juga ada memberi cadangan kepada peniaga tersebut untuk menukar strategi perniagaan iaitu dengan menjual barangnya secara dalam talian menggunakan platform media sosial.
"Nanti saya minta pakcik ini berniaga dalam TikTok," katanya.
BACA LAGI: 2 warga asing terduduk dicekup polis lepas didakwa cuba culik budak dalam pasar raya di Klang
Jualan air yang terpaksa dilelong kerana tidak habis dijual. — Facebook/Muhammad Ridzuan
Selain itu, terdapat juga luahan daripada seorang peniaga menjual minuman di bazar Ramadan berhubung isu sama.
Menerusi hantaran dimuat naik Muhammad Ridzuan, untung diterimanya sehari sangat tidak berbaloi dengan modal yang dikeluarkan.
"Hari ini modal RM65, sejak buka ni sorang pun tak datang lagi. Air banyak, jual murah orang tak datang juga. Jual mahal pun tak datang juga. Bagi percuma je orang ambil.
"Semalam modal RM120 hanya dapat RM3. Kecilkan modal, sale zero," kongsinya.
Perkara itu sekali gus membuatkannya berputus asa untuk meneruskan perniagaan airnya akibat situasi itu.
"Hari ini last kot meniaga air. Habis modal. Sekadar luahan hati, bukan mengeluh," katanya lagi.
Tidak dinafikan, terdapat beberapa faktor bukan sahaja kenaikan harga mentah, malah lokasi dan bayaran tapak jualan menjadi beban kepada para peniaga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram