[VIDEO] 'Aduan ini bersifat fitnah', MDKP sifatkan video tular nasi kerabu berulat cuba burukkan bazar di Kuala Pilah


  • Primer
  • Selasa, 26 Mac 2024

Ulat yang ditemui dalam nasi kerabu yang dikongsi seorang pengguna Facebook.

MAJLIS Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan isu tular mengenai peniaga menjual nasi kerabu berulat di Bazar Ramadan Dataran Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abd Manap berkata, penguat kuasa MDKP bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah telah ke lokasi pada Isnin sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak Isnin.

"Semakan daripada empat lot yang berdaftar untuk jualan nasi kerabu hanya dua lot sahaja yang yang digunakan untuk berniaga, tinggal dua lot yang berniaga itu merupakan peniaga yang sama.

"Hasil daripada pemeriksaan makanan bersama Pejabat Kesihatan Daerah mendapati masakan yang dijual adalah baharu dan tiada kesan makanan lama yang digoreng semula," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: 'Kali terakhir nampak di stesen berseorangan tapi tak tahu Nor Diana nak ke mana'

BACA LAGI: 'Sampai simpan hot pack dalam poket', cuaca buruk musim sejuk buat Sohniya 'kebas' beraksi di New Zealand

Mohd Faizal berkata, semakan juga mendapati bungkusan makanan yang digunakan oleh peniaga tersebut lain daripada yang ditularkan.

"Apabila pengadu cuba dihubungi, pengadu sendiri tidak dapat mengesahkan maklumat yang tepat tentang sumber aduan tersebut.

"Dikhuatiri aduan ini bersifat fitnah, berkemungkinan dibeli tempat lain tetapi memburukkan bazar di Kuala Pilah.

"Peniaga juga mengakui tidak melakukan penjualan makanan yang berulat," katanya.

Justeru, Faizal meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu isu yang belum diketahui kesahihannya.

"Orang ramai terutamanya pelayar media sosial sering kali diingatkan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di media sosial tanpa sumber sahih dan bukti yang mencukupi," katanya.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di Facebook yang menunjukkan nasi kerabu berulat.

Video itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi netizen antaranya meluahkan rasa kesal selain mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Faizal turut menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil atas perkara yang mengundang fitnah.

"Bagaimanapun jika ada aduan berkaitan dengan makanan atau harga membabitkan peniaga bazar, orang ramai boleh membuat aduan terus ke MDKP dengan menyatakan maklumat lengkap seperti tarikh dan nombor gerai yang terlibat untuk tindakan selanjutnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram