'Anak ustazah, adik lumpuh, hidup miskin', antara imbauan mangsa buli lepas terkesan kes di Lahad Datu


  • Massa
  • Selasa, 26 Mac 2024

Kes buli yang melibatkan pelajar sekolah bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal tetapi juga mental seseorang. — Gambar hiasan

KES buli dan tingkah laku ganas yang melibatkan pelajar sekolah adalah perkara yang harus dipandang serius oleh semua pihak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada November lalu mendedahkan jumlah kes buli di sekolah kian meningkat di negara ini dengan 4,994 kes direkodkan dalam tempoh 10 bulan tahun lalu berbanding 3,887 kes pada tempoh sama tahun sebelum ini.

Pelbagai cadangan dan usaha yang dilaksanakan sebelum ini sepertinya masih gagal membendung gejala tersebut, malahan semakin kerap berlaku dan dilaporkan di media.

Terbaharu, berlaku lagi kes buli melibatkan seorang pelajar, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama pada pukul 6.50 pagi pada Jumaat lalu.

Mangsa dipercayai dibelasah sampai mati apabila beberapa kesan kecederaan serta lebam dilihat pada bahagian badan mangsa, Muhd Nazmie semasa diperiksa di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Peristiwa buli ini bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal seseorang tetapi juga boleh mengundang masalah kesihatan mental.

Buktinya, selepas rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita kematian itu, ramai masyarakat mula mendedahkan pernah menjadi mangsa buli semasa berada di bangku persekolahan.

Ini jelas menunjukkan bahawa kejadian buli sangat memberi kesan yang mendalam kepada diri seseorang sehingga tidak mampu melupakan peristiwa terbabit meskipun telah terjadi lama.

Seorang pengguna, dengan nama Shahidaa Yusohh mendedahkan bahawa adiknya pernah dibuli sehingga menyebabkan lumpuh.

"Cerita pasal buli, adik saya dibuli. Budak lelaki tarik kerusi masa dia nak duduk. Akibat hentakan itu, adik jadi lumpuh sekejap masa nak ambil percubaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

"Kesan dia sampai sekarang, lama-lama sekali dia akan sakit kesan dari jatuh itu. Si*l punya budak. Harap adik sihat selalu jangan sakit-sakit lagi." tulisnya.

BACA LAGI: 'Kali terakhir nampak di stesen berseorangan tapi tak tahu Nor Diana nak ke mana'

2608826

Jawatan warden asrama tetap dikatakan dapat mengawal lebih ketat aktiviti pelajar sekolah asrama. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Irfan Harris rindu puasa PKP, gembira masih dapat jadi imam solat tarawih bersama keluarga

Seorang pengguna, dengan nama Alyaa Abdullah mendedahkan pernah dibuli semasa berada di zaman tadika meskipun dia kini sudah tamat belajar.

"Waktu itu ada anak ustazah tuang air sirap dalam nasi lemak, nama sahaja anak ustazah tetapi kaki buli," tulisnya.

Selain itu, seorang pengguna, Siti Rubiah Mohamad meluahkan peristiwa dia dibuli kerana berasal daripada keluarga yang serba kekurangan semasa berada di zaman persekolahan.

"Saya mangsa buli juga sewaktu tadika kemas kena tarik rambut dan kena ejek sebab adik beradik ramai yang menyebabkan nampak susah dan miskin di mata orang.

"Aku ingat muka-muka yang ejek aku itu. Semua lelaki, satu blok Felda, Jalan Felda Kerantong 1, Pahang. Mereka ejek nama bapa aku, ejek kereta bapa aku. Bila nampak muka diorg, auto teringat kata-kata hinaan, cacian, sepakan. Aku cuma senyum bangga sahaja, sebab mereka kebanyakan tak berjaya pun" tulisnya.

Pengguna lain, dengan nama Zaki Fiqaa pula mendedahkan tragedi dia dihentak kepala menggunakan buku semasa berada dalam van sekolah.

"Masa itu saya Tingkatan satu, ada pelajar senior Tingkatan lima hentak kepala saya menggunakan buku. Padahal saya elok duduk dalam waktu waktu itu. Saya ingat lagi muka pelajar yang buli itu, semoga ALLAH yang membalas," tulisnya.

Selepas isu ini diketengahkan ramai, amat penting agar pentadbiran sekolah melakukan pemantauan lebih ketat untuk mengelak kejadi berunsur keganasan berlaku di sekolah.

Antaranya adalah dengan melantik warden secara sepenuh masa dan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengatasi kes buli di asrama.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), Prof Dr Omar Yaakob berkata, kepemimpinan sekolah juga perlu memudah cara pelaporan atau aduan dibuat apabila bibit-bibit buli mula muncul dalam kalangan pelajar.

"Dasar perlindungan pengadu dan saksi perlu diwujudkan," katanya pada Selasa.

Omar berkata, pelajar perlu diberi kesedaran mengenai implikasi dan kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga pelaku dan keluarga masing-masing.

"Bagi kes tertentu, hukuman yang keras boleh dikenakan termasuk penggunaan rotan jika perlu," katanya.

Omar turut menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera beranjak kepada sistem pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu, merangkumi pendidikan berasaskan nilai, pendidikan karakter, penerapan adab dan keunggulan karamah insaniah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram