PERPINDAHAN bintang import, Murilo Henrique ke Johor Darul Ta'zim (JDT) menarik minat media Brazil, A Gazeta untuk menyoroti kisah perjalanan pemain bek kiri itu dari Eropah ke Asia dengan beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga M).
Selepas tiga tahun berkelana di bumi Finland bersama pasukan seperti SJK Seinajoki dan HJK Helsinki, pemain berusia 28 tahun itu memilih JDT untuk mengembangkan lagi kerjayanya dan ia adalah kali pertama Murilo menjejakkan kaki di Asia.
Memetik laporan dari media berkenaan, tawaran kontrak yang memberi kestabilan dalam kerjaya profesional Murilo menjadi alasan terbesar bekas pemain Ourense CF itu memilih Harimau Selatan sebagai destinasi seterusnya.
"Ia adalah keputusan yang sangat baik, saya sudah mempunyai niat untuk mengubah hala tuju selepas tiga tahun di Finland. Banyak yang saya belajar di Finland dan pelbagai pengalaman diperolehi.
"Peluang muncul di Johor dengan tawaran kontrak yang baik iaitu dalam tempoh dua tahun. Ia juga memberi saya keselamatan dan kestabilan. Saya sangat gembira dan bermotivasi dengan peluang itu", katanya memetik A Gazeta.
BACA LAGI: Statistik Murilo lebih baik, 2 bintang JDT mungkin kena kerja lebih keras pertahan posisi
Murilo ketika beraksi mewakili SJK Seinajoki FC di Finland. — Instagram/Murilo
BACA LAGI: Belum masa dapatkan Nooa Laine, tapi saya akan terus bunuh bola sepak negara — TMJ
Penghijrahan tersebut bagaimanapun menerima kritikan kurang senang daripada penyokong bola sepak Brazil kerana menganggap bermain di Asia adalah penurunan taraf jika dibandingkan dengan Eropah.
Bagi peminat di negara yang banyak melahirkan bintang bola sepak seperti Neymar Jr, Vinicius Junior dan Ronaldinho itu, beraksi di Eropah adalah pencapaian tertinggi bagi seorang pemain.
Namun, tidak semua senada dengan majoriti penyokong Brazil apabila sesetengah peminat juga memahami keputusan Murilo yang memilih juara bertahan Liga Super itu sebagai majikan baharunya.
"Pasukan itu mesti bayar gaji yang lumayan. Pemain yang beraksi di divisyen kedua dan ketiga liga Brazil selalunya akan sukses dengan kelab liga lain. Lagi pun Johor ini pasukan terbaik di Malaysia," kata penyokong Brazil, Udimirrodigues.
"Pemain seperti Murilo patutnya dapat liputan media seperti ini. Tidak penting anda bermain di mana. Bukan semua nak jadi seperti Neymar dan Vinicius. Biar dia (Murilo) bahagia," bagi peminat Brazil, Jadercurti.
Untuk rekod, Murilo beraksi hampir 67 perlawanan bersama SJK Seinajoki dan meledak dua gol serta 21 bantuan gol. Dengan rekod cemerlang itu, dia diyakini mampu menjadi pemain sandaran terbaik buat Corbin Ong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram