DI Malaysia, menjadi kebiasaan untuk orang ramai bermain mercun dan bunga api setiap kali tibanya musim perayaan.
Malah, ia dilihat sudah menjadi sebahagian amalan yang memeriahkan perayaan utama di dalam negara seperti ketika Hari Raya, Hari Raya Cina dan juga Deepavali yang disambut pada Sabtu lalu.
Namun, tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan melakukan aktiviti bermain mercun di tempat dan waktu tidak sesuai sering kali membangkitkan kemarahan orang ramai.
Sejak Ahad, tular satu video memaparkan tindakan kumpulan tertentu yang bermain mercun bukan sahaja secara berlebihan, malah juga di tempat yang tidak sesuai.
Menerusi klip berdurasi satu minit 55 saat itu, bunga api dan mercun terbabit dilihat dibakar di kawasan sempit antara blok perumahan pangsapuri di Pelangi Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Pada masa sama, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian individu yang membakar mercun di kawasan blok pangsapuri itu untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis mengesan satu rakaman video kejadian tular itu.
"Hasil semakan, kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu. Pemantauan di lokasi juga telah dilaksanakan pada malam Ahad, namun tiada mercun dibakar.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi media tempatan pada Isnin.
Tindakan itu dilihat agak berbahaya memandangkan bunga api yang dibakar itu meletup begitu hampir dengan tingkap dan unit kediaman di kawasan kediaman bertingkat tersebut.
Situasi itu ternyata menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen yang rata-ratanya melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi di kawasan perumahan sedemikian.
Malah ada yang menyifatkan keadaan tersebut seakan-akan seperti berada di medan perang.
"Sangat berbahaya dan mengundang bahaya kebakaran. Jika ada satu rumah sahaja yang terbakar, ia mengundang bahaya kepada nyawa. Tolong main di kawasan lapang," kata Weekiong Chong.
"Tak salah nak main, pergi jauh sikit tempat lapang. Baru syok. Tempat sempit, tak nampak la bunga apinya, membazir duit sahaja," ujar nursm_.
"Dah macam perang dah gaya mercun tu. Takut tengok," tulis AliahMarzuki.
Menerusi di ruangan komen, insiden serupa turut dilaporkan berlaku di beberapa kawasan lain sekitar Lembah Klang.
"Cheras pun sama, mercun bunga api sini sana, terkejut tak dapat tidur," ujar Chris Ng.
"Dekat tempat aku di Puchong sampai pukul 3 pagi," tulis Suleiman Akhlaken.
Dalam pada itu, di ruangan komen, terdapat juga netizen yang meminta pihak berkuasa dan termasuk Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming supaya memantau serta mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.
"Tiap tahun macam inilah. Bakar mercun langsung tak fikir harta orang. Jangan bunyi setahun sekali, masalah ini kalau tak halang akan jadi masalah besar esok-esok," kata Razinor Atau Paktam.
Untuk rekod, polis sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa individu bermain mercun selepas pukul 12 tengah malam sehinga mengganggu ketenteraman awam boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1995 (Akta 336). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram