SEORANG lelaki cedera parah selepas didakwa digigit seekor anjing ketika melakukan riadah di kawasan perumahan di Changkat Bukit Gambir 2, George Town, Pulau Pinang.
Kejadian tular di media sosial sejak Sabtu itu bagaimanapun dilaporkan berlaku pada Khamis lalu.
Dalam hantaran tular itu juga kelihatan satu gambar memaparkan lelaki tersebut yang berlumuran darah sedang mendapatkan rawatan di dalam ambulans.
BACA LAGI : MBSP kompaun pemilik anjing serang, gigit pelajar di Seberang Perai
Komen pengguna Facebook berkenaan kes tersebut.
Selepas kejadian, pemilik anjing berkenaan dikatakan sudah pergi ke Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk membuat permohonan lesen namun pegawai bertugas memintanya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterina (JPV) Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed dilaporkan berkata, anjing berkenaan adalah daripada jenis baka kacukan (Pitbull) dan akan dikuarantin dalam tempoh 14 hari selepas ditangkap JPV pada hari kejadian.
Bukan itu sahaja, JPV juga dilaporkan akan membuat pemantauan terhadap anjing tersebut sekiranya ia menunjukkan tanda-tanda penyakit rabies.
Bertindak lanjut, pemilik anjing itu turut dikenakan tindakan kerana didapati tidak mempunyai lesen sah dan dilaporkan sudah diberikan kompaun sebanyak RM250 oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Sementara itu, rata-rata warganet dilihat berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab pemilik anjing sehingga mencederakan orang awam.
Mengulas lanjut, seorang pengguna Facebook Zaheera Ali Azhar Ali berkata, usaha badan bukan kerajaan (NGO) selama ini yang kerap melakukan pemandulan atau neuter kepada haiwan jalanan adalah munasabah.
BACA LAGI : Budak perempuan lari tak cukup tanah 'diserang' anjing di Seberang Perai
Memandulkan haiwan jalanan dikatakan antara usaha baik menangani isu tersebut. — Gambar hiasan
Ia bagi mengurangkan populasi haiwan terbiar sekali gus mengurangkan risiko keselamatan penduduk sekitar.
"Sebab tu, NGO-NGO haiwan jalanan sejak awal dulu sentiasa advokasi atau neuter untuk kurangkan populasi haiwan jalanan (anjing dan kucing) atas pelbagai faktor.
"Bukan seperti sebilangan orang yang ambil jalan singkat dengan buang kucing di pasar, atau baling batu dekat anjing semata-mata nak halau dari kawasan rumah. Makin tak terbendunglah populasi," tulisnya.
Susulan itu, dia juga menggalakkan agar orang ramai dapat memberikan sumbangan kepada NGO yang melakukan usaha tersebut bagi mencegah daripada masalah sama berlarutan.
"Maka yang lain juga sangatlah digalakkan untuk memberi sumbangan untuk kos neuter haiwan jalanan oleh pelbagai NGO di Pulau Pinang atau boleh buat sendiri atas belas ihsan kalian. Tak perlu tunggu apa-apa kes berlaku baru nak bertindak dan merungut," luahnya.
Terdahulu, kes sama pernah berlaku iaitu melibatkan pelajar sekolah yang diserang anjing bertuan di Seberang Perai, Pulau Pinang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram