Manusiawi asas konsep pendidikan berkualiti untuk semua


  • Primer
  • Ahad, 29 Okt 2023

Murid Orang Asli antara komuniti yang perlu diberikan akses pendidikan sama rata.

SISTEM pendidikan yang menekankan nilai kemanusiaan selaras dengan kemahiran akademik. Ini antara matlamat konsep Pendidikan Manusiawi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, konsep itu diterapkan dalam setiap langkah yang dilakukan oleh kementerian bertujuan membentuk sistem pendidikan yang mampu memupuk kanak-kanak dan golongan belia untuk menjadi seimbang, bermoral tinggi dan berupaya memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara.

"Kita ingin pastikan tiada kanak-kanak yang akan ketinggalan dalam mencapai akses pendidikan berkualiti," katanya dalam satu temu bual dengan media baru-baru ini, sambil menambah bahawa ia juga merangkumi anjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Berdasarkan pelan pembangunan tersebut, pendidikan sering dilihat sebagai pemboleh ubah untuk mobiliti sosial, membolehkan mana-mana individu atau kanak-kanak dari keluarga susah mampu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik apabila meningkat dewasa.

Ujar Fadhlina, kementerian menerusi PPPM berhasrat untuk menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

Tambahnya lagi, dasar kementerian dalam bidang pendidikan adalah mewajibkan kanak-kanak mendapat pendidikan formal sehingga Tahun Enam, seperti tertakluk mengikut perundangan di bawah Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

Beliau memberitahu, menerusi Pendidikan Manusiawi, KPM akan berusaha untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai hak kepada akses pendidikan berkualiti tanpa mengira siapa atau di mana mereka berada.

"Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan setiap anggota masyarakat mendapat akses pendidikan sama rata, dengan menangani jurang ketidaksamarataan dari segi akses pendidikan dalam kalangan kumpulan demografik yang berbeza termasuk kawasan bandar dan pedalaman, serta komuniti yang terpinggir," katanya.

WhatsApp Image 2023-10-29 at 04.03.12

Fadhlina berkata, KPM akan memastikan tiada kanak-kanak yang akan ketinggalan dalam mencapai akses pendidikan berkualiti.

Fadhlina berkata, KPM akan memastikan tiada kanak-kanak yang akan ketinggalan dalam mencapai akses pendidikan berkualiti.

Dalam pada itu, beliau juga menambah bahawa pendidikan yang mementingkan karakter (sikap) dan nilai adalah komponen paling utama dalam rangka kerja pendidikan Malaysia.

Ujarnya, Malaysia memberi fokus yang signifikan dalam penerapan nilai-nilai moral dan etika dalam diri murid untuk membentuk individu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

“Pendidikan berteraskan karakter dan nilai dilihat penting bukan sahaja untuk pembangunan peribadi murid, tetapi juga kebaikan masyarakat secara keseluruhannya.

"Malaysia berhasrat untuk mewujudkan insan serba lengkap yang tidak hanya kompeten dari segi akademik, tetapi juga bertanggungjawab secara moral dan etika,” kata beliau.

Penuhi aspirasi sistem pendidikan

Kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memenuhi aspirasi 'Akses, Ekuiti dan Kualiti' yang terkandung dalam PPPM 2013-2025.

Fadhlina berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kadar keciciran dan meningkatkan tahap pembabitan murid, terutamanya bagi populasi yang kurang terdedah dengan akses pendidikan dan perkhidmatan.

Antaranya termasuk pelaksanaan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) khusus untuk murid Orang Asli.

Sekolah model khas lain adalah seperti Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Sekolah Dalam Hospital (SDH), Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

"SBJK adalah sekolah khas yang ditubuhkan pada 19 Ogos 2013, untuk memenuhi aspirasi sistem dan murid dalam talian selaras konsep yang dibangunkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu pendidikan untuk semua (EFA).

"Ia juga merupakan salah satu usaha dalam menyediakan akses kepada pendidikan formal, dari prasekolah hingga menengah atas, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kanak-kanak jalanan dan terpinggir di bandar," katanya.

Mereka juga terdiri daripada kanak-kanak yang menghadapi masalah sosial, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan anak yatim yang keciciran dalam pembelajaran.

Golongan berkenaan bukan sahaja diberikan pendidikan dan penjagaan, mereka juga diajar keperluan untuk mencegah daripada pengambilan dadah atau alkohol, aktiviti seksual dan penderaan atau gengsterisme.

Sekolah pertama SBJK terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur, manakala satu lagi di Kota Kinabalu, Sabah.

KPM telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memenuhi aspirasi 'Akses, Ekuiti dan Kualiti' yang terkandung dalam PPPM 2013-2025.

Sementara itu, SDH pula menyediakan pendidikan berterusan yang formal dan berstruktur, tetapi menghiburkan dalam suasana yang kondusif kepada murid yang mempunyai masalah kesihatan dan sedang menerima rawatan.

Ia juga menyediakan sokongan dan rangsangan kepada mereka untuk meneruskan pembelajaran dan menggalakkan perkembangan psikososial mereka, sekali gus membantu dalam proses pemulihan.

Untuk makluman, terdapat 17 buah SDH di 11 negeri yang beroperasi sejak 2011.

Dalam masa sama, Fadhlina memaklumkan, Malaysia telah mempromosikan pendidikan inklusif bagi memastikan kanak-kanak kurang upaya dan berkeperluan khas tidak ketinggalan dalam pembelajaran.

Belanjawan 2024 juga memberi penekanan lebih terhadap sekolah yang mempunyai murid autistik.

“Usaha telah dibuat untuk menyediakan murid ini dengan sokongan dan sumber bagi mengakses pendidikan berkualiti dalam sekolah arus perdana,” katanya yang menambah bahawa inisiatif itu juga membantu melahirkan rasa hormat antara satu sama lain dan menimbulkan persefahaman dalam kalangan murid di sekolah.

Melihat kejayaan yang diperoleh menerusi usaha Pendidikan Manusiawi, Fadhlina berkata, KPM sedang bersiap sedia untuk mewujudkan pelan transformasi strategik baharu yang akan dilancarkan selepas pelaksanaan PPPM.

Pelan baharu itu akan merangkumi Konsep Madani dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Matlamat Pembangunan Mampan 4: kualiti pendidikan, dengan pendidikan kemanusiaan akan menjadi sebahagian daripada konstruk.

"Pelan ini menekankan tentang pemupukan berlandaskan akhlak dan murid yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

SBJK tangani isu keciciran murid di Sabah

WhatsApp Image 2023-10-29 at 04.38.01

Sekolah pertama SBJK terletak di Chow Kit, Kuala Lumpur, manakala satu lagi di Kota Kinabalu, Sabah.

Program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) tidak hanya terhad kepada sekolah tersebut sahaja.

Program itu juga boleh dilaksanakan dalam kawasan sekolah-sekolah sedia ada seperti yang dilaksanakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Sesi libat urus yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah telah mengenal pasti lapan murid warganegara yang tercicir daripada sistem persekolahan disebabkan kemiskinan, keluarga rentan, kelahiran tanpa sah taraf dan tanpa dokumen.

Murid yang terpilih perlu hadir ke Pusat Aktiviti Kanak-kanak seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Am Sabah bagi belajar mengenal konsep asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira).

Mereka kemudian didaftarkan di SK Sembulan, Kota Kinabalu yang dipilih sebagai lokasi SBJK memandangkan sekolah itu mempunyai 10 kabin yang tidak digunakan sejak 2017, ditambah dengan jaraknya yang lebih dekat dengan kediaman lapan murid tersebut.

Kanak-kanak di negeri itu yang mendaftar di sekolah yang melaksanakan program berkenaan layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Bantuan Geran Per Kapita (PCG) dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).

Bagi urusan pengangkutan pula, murid akan dihantar dan diambil oleh keluarga mereka sendiri atau dengan kenderaan yang disediakan oleh JPN Sabah.

Murid akan ditempatkan di dalam kelas berdasarkan tahap penguasaan mereka terhadap 3M.

Fadhlina memberitahu, program itu perlu untuk memastikan kanak-kanak di Kota Kinabalu dan kawasan sekitar memperoleh pendidikan rendah dan menengah yang baik.

“Program tersebut boleh dilaksanakan dalam sekolah di mana terdapat keperluan, dengan mengambil kira kriteria murid yang telah ditetapkan.

"Ia juga adalah sebagai salah satu inisiatif untuk menangani isu keciciran murid.

“Selain itu, program ini dapat meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan jurang ekonomi antara penduduk luar bandar dan bandar,” jelasnya.

Program tersebut selaras dengan PPPM 2015-2025 serta Matlamat ke-4 dalam Matlamat Pembangunan Lestari UNESCO, yang bertujuan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat pendidikan berkualiti dan inklusif, serta menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

“Matlamat ini memberi jaminan bahawa semua murid akan dapat melengkapkan pendidikan rendah dan menengah pada 2030,” tambah beliau.

Murid di SBJK merangkumi kumpulan-kumpulan berikut:

> Kanak-kanak tercicir yang datang daripada keluarga miskin tegar;

> Kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri, seperti sijil kelahiran dan kad pengenalan;

> Kanak-kanak jalanan dan terpinggir; serta

> Anak-anak yatim di pusat kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram