Kerajaan sasar kemasukan 26.1 juta pelancong asing Tahun Melawat Malaysia 2026


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Kerajaan bakal menganjurkan Kempen Melawat Malaysia 2026 bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara.

KERAJAAN menyasarkan kemasukan 26.1 juta pelancong asing dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion bagi Tahun Melawat Malaysia pada 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM350 juta disediakan bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

"Antara promosi yang bakal dilaksanakan termasuk penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026 serta kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara.

"Bantuan juga akan disediakan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan untuk menganjurkan aktiviti seni dan budaya, selain pemberian geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Beliau menambah, kerajaan juga akan memastikan kawasan, bangunan dan tapak warisan tumpuan pelancong akan terus dipelihara bagi mengekalkan keindahan, keselamatan serta kebersihan.

Untuk itu ujarnya, sebanyak RM20 juta disediakan untuk manfaat kerajaan negeri bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis; Kenong Rimba Park di Pahang dan Pantai Teluk Kemang, Negeri Sembilan.

"Sejumlah RM80 juta juga disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) antaranya di Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak.

"Selain itu, RM20 juta juga disediakan kepada Think City untuk mengangkat dan memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya," jelas beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram