Kes pelajar lari asrama di Cheras tak tahan dibuli, KPM arah pihak sekolah sedia laporan lengkap


  • Primer
  • Ahad, 10 Dis 2023

Lim Hui Ying berkata, KPM akan mengambil tindakan selanjutnya selepas menerima laporan lengkap dan menjalankan siasatan berhubung kejadian buli tersebut. — Bernama

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah mengarahkan pihak sekolah menyediakan laporan lengkap berhubung insiden seorang pelajar tingkatan dua melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur kerana mendakwa tidak tahan dibuli.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, KPM akan mengambil tindakan selanjutnya selepas menerima laporan lengkap dan menjalankan siasatan berhubung kejadian buli tersebut.

"... ia dalam radar kita, kami telah arahkan sekolah buat laporan lengkap untuk diserahkan kepada kepada KPM, kami akan tunggu laporan tersebut sebelum mengambil tindakan selanjutnya," katanya.

KPM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan pihak kementerian sedang menyiasat dakwaan buli membabitkan pelajar itu dan akan memastikan perkara tersebut diselesaikan segera.

Terdahulu, Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata sebanyak RM400,000 diperuntuk bagi menaik taraf papan di Jeti Chew dan Jeti Lim, Sungai Pelek, Selangor bagi memastikan ia dalam keadaan selamat serta selesa kepada pengunjung.

Beliau berkata, kedua-dua jeti merupakan sebahagian daripada tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Saya berpuas hati dengan kerja-kerja naik taraf papan di jeti terbabit kerana kawasan tersebut memang sering menjadi tumpuan orang ramai terutama pelancong asing, jadi kami mahu memastikan papan jeti dalam keadaan selamat dan selesa kepada pengunjung.

"Sekarang hanya tinggal kerja-kerja memasang lampu di Jeti Chew dan ia tidak dapat disiapkan kerana paras air menyebabkan kerja-kerja ini terpaksa ditunda," katanya kepada pemberita selepas meninjau kedua-dua jeti pada Ahad.

Terdapat empat lagi jeti membabitkan perkampungan terapung terdiri daripada keluarga berketurunan Tan, Lee, Yeoh serta satu berketurunan campuran dipanggil 'Mixed Clan Jetty' dan kini kesemuanya menjadi lokasi pelancongan di Pulau Pinang.

Kawasan perkampungan nelayan atas laut itu sering menjadi tumpuan pengunjung termasuk dari luar negara terutama China dan Singapura. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram