SEPASANG pasangan kekasih ditahan bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa dikurung dalam sebuah bilik air.
Memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, tindakan itu diambil susulan laporan yang diterima pada pukul 4.13 petang, Jumaat lalu.
Menurutnya, seorang pengadu wanita memberitahu menerima maklumat bahawa kanak-kanak tersebut berada dalam bilik air dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.
"Pengadu kemudian menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
"Pihak polis membawa balik kanak-kanak itu ke balai polis dan pengadu turut membuat laporan polis.
"Suspek iaitu bapa dan teman wanitanya berusia 39 tahun kemudia ditahan serta direman mulai 13 Oktober hingga 18 Oktober," katanya.
Ujar Rahmat, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut tidak bersekolah dan tinggal bersama bapa kandungnya serta teman wanita bapanya.
"Terdapat kesan dipukul pada tubuh mangsa dan juga kesan pukul lama," jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak 2001.
Terdapat kesan dipukul pada tubuh mangsa dan juga kesan pukul lama.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, 46, berkata, budak lelaki itu tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya bersama anak wanita itu yang berusia tiga tahun.
"Mangsa tinggal bersama mereka di rumah flat di Taman Pulai Jaya, Skudai, Johor sejak bapa kanak-kanak ini berpisah dengan ibu kandungnya pada 2021.
"Ibu bapa kandung budak ini berasal dari Klang, Selangor dan bapanya yang berkerja sebagai pemandu van kilang melarikan mangsa ke Johor Bahru selepas bercerai," katanya memetik laporan media. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram