[VIDEO] Disyaki dera bayi syurga, 2 pengasuh muda taska di Semenyih dicekup


  • 112
  • Sabtu, 10 Feb 2024

Tangkap layar antara rakaman yang dikongsikan dipercayai berhubung kejadian dera yang didakwa berlaku di sebuah taska di Semenyih.

POLIS menahan dua pengasuh wanita yang bekerja di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Semenyih, Selangor bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan serta pengabaian seorang bayi autistik.

Kedua-dua wanita tempatan berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat oleh ibu mangsa sekitar pukul 7.50 malam pada 27 Januari lalu.

"Menurut wanita yang berumur 35 tahun itu, dia menyedari kesan lebam pada dahi anak perempuannya berusia 11 bulan ketika mengambilnya dari taska berkenaan pada 24 Januari lalu.

"Semakan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu, polis mendapati bayi perempuan autistik berkenaan terjatuh dari kerusinya.

"Malah pengadu turut dikatakan menerima beberapa rakaman video daripada seorang individu tidak dikenali yang memaparkan mangsa didera dan diabaikan pengasuh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Enjin kereta masih 'problem' baiki sampai RM8,000, pomen siap ugut pelanggan buat repot polis

BACA LAGI: [VIDEO] 'VC' dengan kenalan ketika bekerja bongkar kes dera anak syurga di taska Semenyih

Mohd Zaid memaklumkan, kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

"Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut," jelasnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung pegawai penyiasat Insepektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, kejadian dera berkenaan tular selepas ia dikongsikan sendiri oleh ibu mangsa di akaun Facebooknya yang menggunakan nama Akma Nur Amanina pada Rabu.

Dalam hantaran tersebut, wanita itu berkata, dia pada awalnya menerima panggilan daripada pihak taska pada 31 Januari lalu yang memaklumkan bahawa anaknya tidak lagi boleh dijaga pusat jagaan tersebut.

Bagaimanapun, Akma Nur Amanina berkata, dia kemudiannya menyedari bahawa alasan sebenar anaknya yang dikenali sebagai Noura dikeluarkan daripada pusat jagaan berkenaan bukanlah atas faktor dinyatakan tersebut.

Ini kerana dakwanya, pihak taska dipercayai melakukan tindakan tersebut kerana mahu menutup kisah sebenar bahawa anaknya menjadi mangsa dera oleh beberapa penjaga di pusat jagaan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram