[VIDEO] 'VC' dengan kenalan ketika bekerja bongkar kes dera anak syurga di taska Semenyih


  • Tular
  • Khamis, 08 Feb 2024

Tangkap layar antara rakaman yang dikongsikan dipercayai berhubung kejadian dera yang didakwa berlaku di sebuah taska di Semenyih.

PERBUATAN seorang penjaga yang mendera kanak-kanak istimewa di sebuah taska dekat Semenyih, Selangor dikatakan terbongkar selepas dia melakukan tindakan terkutuk itu ketika membuat panggilan video bersama kenalannya.

Difahamkan, terkejut dengan insiden dera yang berlaku, kenalan suspek kemudiannya bertindak mengadukan perkara tersebut kepada ibu mangsa.

Terdahulu, kejadian dera berkenaan tular selepas ia dikongsikan sendiri oleh ibu mangsa di akaun Facebooknya yang menggunakan nama Akma Nur Amanina pada Rabu.

Dalam hantaran tersebut, wanita itu berkata, dia pada awalnya menerima panggilan daripada pihak taska pada 31 Januari lalu yang memaklumkan bahawa anaknya tidak lagi boleh dijaga pusat jagaan tersebut.

"Katanya cranky dan ada rosakkan dinding. Jadi setelah setahun sebulan di situ, anak kami tak dapat lagi dijaga. Bukan sebulan dua ya...Masa tu pasrah dan berterima kasih je atas jagaan selama ni," ujarnya.

Bagaimanapun, Akma Nur Amanina berkata, dia kemudiannya menyedari bahawa alasan sebenar anaknya yang dikenali sebagai Noura dikeluarkan daripada pusat jagaan berkenaan bukanlah atas faktor dinyatakan tersebut.

Ini kerana dakwanya, pihak taska dipercayai melakukan tindakan tersebut kerana mahu menutup kisah sebenar bahawa anaknya menjadi mangsa dera oleh beberapa penjaga di pusat jagaan berkenaan.

"Rupanya Noura clearly dikeluarkan sebab dia salah seorang mangsa dera. Cepat-cepat nak tutup cerita nampaknya. Mesti tak sangka mak Noura boleh tau jugak akhirnya," dakwanya.

Menurut wanita tersebut, dia juga tidak menyangka bahawa pelaku yang mendera anaknya itu rupa-rupanya merupakan individu yang pada mulanya disangka menjadi penjaga kesukaan cahaya matanya.

BACA LAGI: Bapa keluar 3 jam beli makanan jumpa anak mati, polis syak ada unsur dera dan pengabaian

BACA LAGI: Ibu tunggal, rakan tomboy tukar pengakuan kes dera budak 7 tahun di Pasir Gudang

"Ku sangka sebab cikgu (penjaga) favourite dah kena tukar jadi punca Noura cranky, rupanya cikgu yang disangka favourite tu saka yaaa.

"Mentang-mentang la anak kita ni tak boleh bercakap, dibantainya sesuka hati. Sejak bila pun tak tahu.

"Tak pernah dipantau agaknya sehingga boleh ada cikgu gila dalam taska selama berbulan bulan..." dakwanya.

Pada masa sama, Akma Nur Amanina turut mendakwa bahawa anaknya bukan satu-satunya kanak-kanak yang didera di pusat jagaan berkenaan.

Dalam hantaran tersebut, dia turut berkongsikan beberapa rakaman video merakam perbuatan penjaga terlibat yang dipercayai melakukan perbuatan mendera terhadap beberapa kanak-kanak lain di taska tersebut.

"Noura hanya salah seorang mangsa. Yang kecil-kecil pun ada ya ALLAH tergamaknya. Dicepuk-cepuknya kepala anak kita. Dibiar dalam bilik air menangis.

"Dikurung tak bagi keluar. Tak sanggup ibu abi nak mintak tengok CCTV. Yang tertangkap ni pun meruntun hati.

"Bayangkanlah kalau hari-hari dicepuk kepala dan badannya. Pandai...pukul macam tu memanglah takkan tinggalkan tanda," katanya.

Akma Nur Amanina berkata, dia hanya mengetahui mengenai isu penderaan itu selepas dikongikan oleh seorang saksi yang secara rahsia menghubunginya.

"Ada saksi cari saya. Dia kesian tengok Noura kena macam ni. Noura tiada kesan masa last day sebab dia asyik kena tepuk kepala dengan badan.

"Cuma sebelum ini ada kesan cakar dan lebam dekat ari-ari. Ingatkan sebab dia lasak je. Ya ALLAH sesalnya," tulis wanita tersebut di ruangan komen ketika menjawab soalan warganet mengenai bagaimana dia mengetahui mengenai perbuatan berkenaan.

Difahamkan, saksi yang berkongsikan video itu mengesan mengenai kegiatan dera tersebut ketika melakukan panggilan video bersama salah seorang penjaga yang terlibat.

Dalam pada itu, di ruangan komen, Akma Nur Amanina memaklumkan dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Dia turut menyatakan bahawa pihak taska turut melakukan permohonan maaf susulan pembongkaran tersebut.

Dalam pada itu, pihak taska terbabit ketika dihubungi Majoriti memaklumkan satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung insiden tersebut pada Jumaat.

Difahamkan, kedua-dua penjaga terlibat juga sudah diberhentikan daripada tugasan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan mengesahkan sudah menerima laporan berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram