[VIDEO] Lagi kes kecoh guna SmartLane, PLUS disaran guna warna lain elak pengguna keliru


  • Massa
  • Ahad, 11 Feb 2024

Ramai pengguna lebuh raya difahamkan masih tidak sedar mengenai pelaksanaan inisiatif SmartLane yang membenarkan penggunaan lorong kecemasan ketika waktu kesesakan. — FDa

SETIAP kali tibanya musim perayaan, lebuh raya utama di seluruh negara pastinya sesak dengan kenderaan pengguna yang bukan sahaja pulang beraya, tetapi juga mengambil kesempatan untuk bercuti.

Situasi itu tentunya sedikit sebanyak menimbulkan ketidakselesaan terhadap orang ramai yang perlu berdepan dengan kesesakan yang kadang kala memakan masa sehingga berjam-jam.

Bagi mengatasi masalah tersebut, pengendali lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sejak mula memperkenalkan inisiatif SmartLane bagi menangani isu tersebut.

SmartLane merupakan inisiatif pengaktifan lorong paling kiri atau lorong kecemasan di lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang dilaksanakan di beberapa laluan kritikal.

Pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, Plus Malaysia Berhad (Plus) turut mengumumkan pihaknya mengaktifkan 14 laluan SmartLane di lokasi kritikal di seluruh negara.

Langkah itu dilaksanakan bagi membantu menyuraikan trafik yang dijangka meningkat hingga lebih dua juta kenderaan sehari ekoran perayaan tersebut di samping musim cuti sekolah.

photo1707655529

Tangkap layar video memaparkan sebuah kereta ditahan kerana dipandu di lorong SmartLane baru-baru ini.

Bagaimanapun, di sebalik usaha murni yang diketengahkan itu, ramai pengguna lebuh raya didapati masih tidak mengetahui mengenai kewujudan inisiatif tersebut.

Situasi itu dilihat ternyata menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemandu yang masih ramai antaranya menganggap bahawa kereta dilarang untuk menggunakan lorong kecemasan.

Lebih membimbangkan, perkara berkenaan juga menyebabkan timbulnya salah faham dalam kalangan pengguna sehingga mencetuskan konfrontasi di atas jalan raya.

Dalam minggu ini sahaja, terdapat sekurang-kurangnya dua video tular memaparkan situasi tegang membabitkan penunggang motosikal yang memarahi pemandu kenderaan kerana menggunakan lorong SmartLane.

Malah, terdapat situasi di mana kereta pemandu terlibat dirosakkan oleh penunggang yang dipercayai tidak mengetahui mengenai inisiatif tersebut.

Pada masa sama, terdapat juga pemandu yang ditengking dan ditahan oleh penunggang motosikal kerana menggunakan laluan khas berkenaan.

Kejadian yang dipercayai berlaku di lebuh raya berdekatan Kulai, Johor itu dikongsikan sendiri oleh seorang pengguna Facebook yang berdepan dengan insiden tersebut pada Sabtu.

"Pada hari pertama tahun baru, saya dimarahi dan dihentikan oleh seorang penunggang motosikal.

"Saya jelaskan kereta boleh lalu di sini tapi dia memarahi dan memaki saya dengan mengatakan saya tidak boleh ambil laluan kecemasan," kata Maelk Kang menerusi perkongsian di Facebook.

WhatsApp Image 2024-02-11 at 6.04.27 PM

Tangkap layar video memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal yang dipercayai merosakkan cermin sisi sebuah kenderaan dalam kejadian di lebuh raya berdekatan persimpangan Sungai Buaya, Hulu Selangor, Selangor.

Di ruangan komen, rata-rata warganet berpandangan bahawa masih ramai pengguna yang tidak peka dan keliru mengenai pelaksanaan SmartLane.

"Pelaksanaan SmartLane ini wujudkan banyak masalah. Orang trauma sebab dulu ramai yang salahgunakan lorong kecemasan waktu jalan sesak. Sekarang dah boleh tukar jadi SmartLane ramai tak tahu lagi," tulis datoedwinprabu.

"JPJ dah kena wajibkan setiap sekolah memandu masukkan subjek SmartLane ni dalam kurikulum kelas memandu sebelum ambik lesen," ujar FernndoAlonso14.

"Baru sahaja semalam bertekak dengan rider jenis nak hon-hon masa kami lalu SmartLane. Jenis tak sedar pasal SmartLane, lepas itu nak gaduh, kata jajargh.

Susulan daripada itu, terdapat netizen yang memberikan cadangan agar pihak berkaitan menambah baik pelaksanaan inisiatif tersebut bagi mengelakkan berulangnya insiden sedemikian.

"Ramai sangat yang tak tahu pasal SmartLane ni. PLUS dah boleh letak signboard "SMART LANE" sebesar signboard IPOH agaknya," kata aiidielh.

"Mungkin boleh buat papan tanda berlainan warna atau warnakan lorong tersebut supaya pengguna nampak lorong tu bermula dekat mana.

"Papan tanda sedia ada agak mengelirukan dan tak dapat dilihat dengan jelas sebab papan tanda merging lane pun rupa lebih kurang," tulis TehOAis4849. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram