PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan berada di lebuh raya terutamanya pada hari-hari puncak iaitu Rabu dan Sabtu dengan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa sempena Aidiladha.
Sehubungan itu, PLUS akan mengaktifkan laluan SmartLane di lima lokasi kritikal di sepanjang lebuh raya kendaliannya bagi membantu menyuraikan trafik berikutan lonjakan trafik yang dijangka berlaku pada musim perayaan tersebut.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz memaklumkan, lima lokasi tersebut termasuk di laluan antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban (KM260.0 hingga KM263.1 Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai (KM19.0 hingga KM27.0 Arah Utara).
"Selain itu, laluan terlibat adalah Gua Tempurung - Gopeng (KM306.7 hingga KM297.0 Arah Utara), laluan Slim River - Sungkai (KM367.3 hingga KM354.1 Arah Utara) serta Kawasan Rehat dan Rawat Rawang - Sungai Buaya (KM439.9 KM435.5-Arah Utara)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, ketika SmartLane diaktifkan, lorong paling kiri yang sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan trafik.
Jelasnya, ia bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong bagi mengurangkan kesesakan trafik di laluan kritikal lebuh raya.
"Di lokasi SmartLane, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan sementara waktu sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama bagi meneruskan perjalanan mereka.
"Namun, pengguna dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain yang mana tiada laluan SmartLane diaktifkan," ujarnya.
Kata Mohd Yusuf lagi, pertembungan trafik serta keadaan laluan yang sedikit mendaki menyumbang kepada peningkatan trafik yang tinggi dan pergerakan kenderaan yang perlahan di lokasi-lokasi tersebut.
Tambahnya, pengaktifan lorong SmartLane bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia telah dilaksanakan pada musim-musim perayaan sebelum ini.
"Di beberapa laluan seperti Setia Alam-Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan USJ-Seafield di ELITE, SmartLane dilaksanakan setiap hari bagi melancarkan pergerakan trafik pada waktu puncak di sebelah pagi pada hari-hari bekerja biasa.
"SmartLane juga sering diaktifkan di lokasi-lokasi penutupan lorong di mana kerja-kerja penyelenggaraan kecemasan dan pengurusan kemalangan diadakan di lebuh raya PLUS," jelasnya.
Ujarnya, PLUS juga proaktif membuat persediaan-persediaan lain untuk menguruskan lonjakan trafik melalui pelbagai pendekatan bagi membantu pengguna lebuh raya kendaliannya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa sempena perayaan Aidiladha kali ini.
"PLUS akan turut mengambil langkah-langkah seperti menambah pasukan PLUSRonda untuk mengadakan lebih banyak rondaan di lebuh raya.
"Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan jalan antara 24 Jun hingga Julai dihentikan buat sementara (pengecualian diberikan kepada kerja-kerja penyelengaraan dan kecemasan yang memerlukan tindakan segera demi keselamatan pengguna)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram