Coach ‘minah dan mat saleh’ selamba datang meeting pakai singlet berseluar pendek dekat pejabat kerajaan, ramai kecam layanan dua darjat


  • Tular
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Foto tular yang memaparkan perjumpaan antara Abdul Rashid bersama jurulatih renang dari luar negara. — Twitter

SEPERTI yang diketahui, isu mengenai etika pemakaian khususnya ketika berurusan di premis atau bangunan kerajaan merupakan antara perkara yang sangat dititik beratkan.

Malah, terdapat beberapa insiden dilaporkan sebelum ini mengenai kes individu dihalang untuk berurusan kerana tidak mematuhi peraturan etika pakaian yang ditetapkan.

Namun, tular satu foto sejak Khamis memaparkan mengenai satu perjumpaan diadakan di sebuah pejabat kerajaan bersama pelawat yang merupakan jurulatih sukan dari luar negara.

Apa yang mengejutkan menerusi gambar yang dikatakan dikongsikan di Instagram Majlis Sukan Negara (MSN) itu adalah berkenaan pemakaian jurulatih terbabit yang disifatkan tidak formal.

Selain hanya memakai seluar pendek, salah seorang daripada pelawat berkenaan juga dilihat cuma memakai baju singlet ketika pertemuan terbabit.

Difahamkan, perjumpaan yang berlangsung di MSN) Bukit Jalil Kuala Lumpur pada Khamis itu melibatkan Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub dan seorang jurulatih renang dari luar negara.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak ikut etika pemakaian, MPKS sediakan kain pelikat, kain batik untuk pelawat masuk berurusan

BACA LAGI: Perlu patuh etika pakaian universiti, tapi ambil kira pertimbangan semasa — Wakil pelajar

Susulan daripada foto tular terbabit, rata-rata warganet melahirkan kekesalan mereka terhadap situasi yang berlaku.

Ini kerana menurut mereka, kejadian itu memaparkan seolah-olah wujudnya isu dua darjat dari segi pelaksanaan etika pemakaian yang dilaksanakan di pejabat kerajaan.

"Kalau orang kita sampai tak boleh berurusan dengan pejabat kerajaan. Hidup orang putih," tulis jjfirdaus.

"Simpan gambar ni. Lain kali kena tahan pengawal keselamatan di premis kerajaan, tunjuk gambar ni," ujar muhdrajaei.

"Dengan singletnya, seluar pendeknya, seliparnya lagi. Atas sampai bawah tak ikut etika pemakaian pun boleh tutup mata lagi," kata z_farahinnn.

Begitupun, hasil semakan terkini di Instagram MSN mendapati gambar terbabit sudahpun dipadam.

MSN ketika dihubungi Majoriti juga enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram