ETIKA pemakaian di institut pengajian tinggi antara isu hangat sedang menjadi buah mulut rakyat ketika ini.
Masakan tidak, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata tampil bersuara apabila seorang pelajar universiti didenda pihak pengurusan, gara-gara mewarna rambut dan memakai terlalu banyak subang.
Ho Chi Yang menggesa supaya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti melonggarkan kod berpakaian.
Beliau berkata, universiti harus menumpukan usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan memupuk bakat dan bukannya mengenakan kod pakaian yang ketat.
"Apabila universiti melaksanakan etika berpakaian yang ketat, ia bukan sahaja menyekat kebebasan pelajar untuk berpakaian tetapi juga, secara langsung atau tidak langsung, menyekat kreativiti pelajar," katanya.
Rasydan
Sementara itu, Rasydan Mohd Hassan berkata, sekiranya sesebuah universiti sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) atau tatacara pemakaian, setiap pelajar perlu mematuhi peraturan tersebut.
Namun, Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan itu berkata, peraturan tersebut boleh dipertimbangkan, sekiranya seseorang pelajar terlibat dalam sesuatu aktiviti bagi tujuan akademik.
Persembahan teater oleh pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) pada Julai tahun lalu.
"Tidak dinafikan, ada universiti yang membenarkan (pemakaian bebas), namun kita perlu lihat kepada konteks semasa.
"Meskipun pemakaian adakalanya tidak memberi kesan kepada pembelajaran, tetapi disebabkan kita berada di satu institut pengajian tinggi iaitu institut keilmuan, terdapat peraturan yang perlu kita ikuti," katanya kepada Majoriti.
Wafiq Azman
Mengulas mengenai perkara sama, Wafiq Azman berkata, sekiranya seseorang pelajar memakai pakaian yang bercanggah dengan falsafah dan prinsip ketimuran serta melanggar norma kesopanan masyarakat di negara ini, maka ia disifatkan sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Apatah lagi, kata Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) itu, keadaan semakin teruk jika pelajar tersebut menuntut di universiti awam tempatan, yang secara tidak langsung membawa imej universiti.
Kebebasan melampau dari sudut pemakaian kepada pelajar atas alasan hak asasi merupakan pemahaman tidak tepat. — Gambar hiasan
Pada masa sama, beliau kurang bersetuju jika kebebasan melampau dari sudut pemakaian diberikan sewenang-wenanganya kepada pelajar atas nama 'kebebasan' atau 'hak asasi'.
"Tambahan pula, ada suara yang mengatakan kod pakaian universiti yang tidak sebebas universiti barat akan mengekang kreativiti dan keberanian pelajar. Ini adalah satu pemahaman yang tidak tepat.
"Kreativiti dan keberanian pelajar tidak akan tersekat disebabkan peraturan berkait tentang kod pemakaian, tetapi ia bergantung kepada budaya ilmu dan sejauh mana wacana yang berlangsung dalam universiti berjalan secara terbuka, adil dan berkualiti," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram