ETIKA pemakaian di sesuatu tempat terutamanya di premis atau bangunan untuk urusan formal sangat dititikberatkan.
Sebelum ini, isu melibatkan pemakaian itu mula timbul selepas insiden tular yang berlaku di sebuah Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Insiden itu berlaku apabila seorang warga emas lelaki yang bertelingkah dengan anggota keselamatan berhubung pelanggaran kod pakaian di hospital berkenaan.
Pada Isnin, Lim Thean Heng berusia 72 tahun telah tidak dibenarkan masuk oleh pihak keselamatan di Hospital Seberang Jaya selepas dikatakan tidak berpakaian sesuai.
Hospital Seberang Jaya yang menjadi lokasi insiden tersebut. — Gambar hiasan
Ketika kejadian, Lim yang juga merupakan jurutera bersara memakai kemeja-t, seluar pendek di atas paras lututnya, dan kasut sukan.
Namun Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen menyatakan bahawa ia berpunca daripada masalah komunikasi antara dua pihak itu.
Bukan itu sahaja, Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr Saiful Azlan Sharif dalam satu kenyataan berkata, etika berpakaian di jabatan kerajaan telah lama diamalkan dan hospital tersebut turut tidak terkecuali.
Bagaimanapun, terbaharu, tular pula satu video memaparkan seorang lelaki sedang memakai kain pelikat di hadapan pintu masuk Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Selangor.
Menerusi video tersebut, tindakan itu dilihat seakan-akan sama dengan isu berbangkit di hospital sebelum ini.
Dalam video itu, lelaki berkenaan diarahkan untuk memakai kain pelekat kerana berseluar pendek.
Pada masa sama, individu yang merakam video tersebut mendakwa bahawa ia merupakan peraturan baharu yang perlu dipatuhi.
"Arahan kena ikutlah, kalau perempuan kena pakai kain batik," katanya.
Sementara itu, Majoriti sudah menghubungi pihak Majlis tetapi belum mendapatkan sebarang maklum balas berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram