KPM perlu tambah baik atau kekal kelonggaran pakaian sukan ke sekolah, saran PIBG


  • Massa
  • Sabtu, 09 Dis 2023

Wakil PIBG yang ditemu bual memberikan respons yang agak bercampur berhubung cadangan NUTP agar kelonggaran pemakaian di sekolah.

SEJAK Oktober 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia memberi kelonggaran dengan membenarkan murid hadir ke sekolah dengan mengenakan pakaian sukan.

Kemudahan itu yang dilakukan ketika penularan Covid-19 dan cuaca panas pada Mei 2023 merupakan salah satu langkah kerajaan bagi meringankan bukan sahaja murid, tetapi juga ibu bapa.

Ini kerana pemakaian tersebut bukan sahaja memudahkan, malah lebih selesa untuk dikenakan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira keadaan cuaca di Malaysia.

Bagaimanapun, selepas lebih dua tahun dilaksanakan, isu pemakaian tersebut kembali menjadi antara topik yang hangat dibincangkan dalam kalangan guru, ibu bapa dan termasuk orang awam.

BACA LAGI: NUTP minta KPM tarik balik kelonggaran pakai baju sukan menjelang sesi persekolahan 2024

Ia selepas di sebalik respons positif dikongsikan khususnya ibu bapa berhubung langkah itu, terdapat juga impak negatif yang dikatakan wujud ekoran pelaksanaannya.

Antara yang berbangkit tentunya mengenai kemerosotan keterampilan dan disiplin murid.

Kebimbangan mengenai perkara itu disuarakan sendiri oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon.

Beliau berkata, hal berkenaan sememangnya menjadi antara isu penting yang dibangkitkan kumpulan pentadbir sekolah di dalam negara.

1291079

Kelonggaran pemakaian baju sukan ke sekolah mula dilaksanakan ketika 2021.

Malah, beliau turut menyatakan gesaan pihaknya terhadap KPM agar status pemakaian baju sukan itu ditarik semula.

Ujarnya, dengan mengambil kira keadaan semasa yang sudah kembali normal, pihak sekolah wajar mengembalikan semula etika pakaian seragam yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Namun, menerusi temu bual Majoriti bersama beberapa wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), cadangan daripada NUTP itu mendapat respons yang agak bercampur daripada kumpulan tersebut.

Yang Dipertua (YDP) PIBG, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Tanjong Karang, Selangor, Adib Amat Mustakim berkata, berkata, pada waktu ini, ibu bapa sememangnya selesa terhadap cara pemakaian sedia ada.

Bagaimanapun, beliau mengakui sememangnya timbul kebimbangan dalam kalangan ibu baoa berhubung isu tahap ketrampilan murid yang disifatkan perlu ditangai.

"Ini kerana contoh ketika waktu program rasmi dan sebagainya, pakaian murid itu nampak tak seragam dan formal. Bila semua pakai t-shirt, ada sesentengah yang baju ke dalam, ada yang keluar.

"Kemudian seluar sukan pula bermacam macam warna dan rekaan. Jadi nampak tak seragam dan kemas ketika majlis rasmi," katanya.

Untuk menangai isu tersebut, beliau mencadangkan agar pihak KPM sekurang-kurangnya menambah baik pelaksanaan kelonggaran yang diberikan itu.

"Mungkin dalam seminggu itu, boleh tetapkan dua hari pakai pakaian seragam atau ketika acara rasmi, manakala selebihnya boleh kekal pakai baju sukan," ujarnya.

Pada masa sama, Adib turut berharap agar KPM mengeluarkan garis panduan lebih jelas berhubung keperluan pemakaian pakaian seragam bagi sesi persekolahan.

Menurut Adib, ini kerana beliau menerima banyak rungutan daripada ibu bapa yang terkilan apabila pakaian seragam yang digunakan untuk tahun ini langsung tidak digunakan.

"Kos persediaan beli baju dah keluarkan tapi akhirnya baju tak terpakai. Jadi, akan datang mungkin kena lebih jelas.

"Ini bagi memudahkan ibu bapa membuat pembahagian perbelanjaan untuk pakaian sekolah," ujarnya.

Standalone pixParents and their kids shopping for school uniform at shop in Masai, Pasir Gudang on Friday (Jan 08) — NUR AISYAH MAZALAN/The Star

Terdapat ibu bapa yang terkilan apabila pakaian seragam yang dibeli langsung tidak dipakai pada tahun ini ekoran pelaksanaan kelonggaran tersebut.

Dalam pada itu, Naib YDP PIBG SMK Seksyen 19, Shah Alam, Selangor, Sharifah Muhaiziah Syed Mustafa berkata, setakat ini, pihaknya langsung tidak sebarang rungutan atau aduan daripada ibu bapa berhubung pemakaian baju sukan di sekolah.

Katanya, murid juga dilihat selesa dengan pelaksanaan pemakaian tersebut.

"Kebanyakan murid ini mereka memang suka sebab senang bergerak dan sebagainya. Jadi ibu bapa pun rata-ratanya mengikut keselesaan anak.

"Jika anak mereka suka, diorang pun ok," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram