BERBAKI beberapa jam sahaja lagi, tumpuan pada petang Jumaat pastinya terarah kepada pembentangan Bajet 2024 yang akan berlangsung di Dewan Rakyat.
Pastinya ramai yang tidak sabar menantikan 'hadiah' apa yang bakal disediakan oleh Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.
Pengawalan kos sara hidup dan peningkatan pendapatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah serta sederhana menjadi antara topik bualan hangat memandangkan situasi ekonomi dan peningkatan harga barang pada ketika ini.
Anwar dilihat segak mengenakan baju Melayu berwarna biru muda ketika pembentangan Bajet 2023 yang dibentangkan semula susulan pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15. — Bernama
Namun, selain input bajet yang dibentangkan pada setiap Jumaat, minggu ketiga bulan Oktober itu, antara hal lain yang turut menjadi perhatian adalah pemilihan busana yang bakal digayakan Anwar pada petang Jumaat ini.
Sama seperti tahun sebelum ini, pemakaian figura yang membentang turut menjadi buah mulut warga maya dalam media sosial.
Umum mengetahui, setiap kali pembentangan bajet, menteri kewangan mempunyai pilihan warnanya yang tersendiri untuk menggayakan persalinan baju Melayu mereka.
Mungkin ramai yang tidak sedar, sejak 25 tahun lalu, biru merupakan warna kegemaran pemimpin yang akan membentangkan bajet pada setiap tahun.
Ia terbukti apabila busana berona biru pernah dipakai sebanyak enam kali sejak tahun 1998.
Selain biru, tiga lagi warna pilihan individu penting tersebut ialah jingga yang pernah digayakan sebanyak empat kali, sementara merah jambu dan coklat masing-masing tiga kali.
Menjengah kembali ketika pembentangan Bajet 2023, Anwar dilihat segak mengenakan baju Melayu berwarna biru muda.
Tengku Zafrul ketika pembentangan Bajet 2023. — Bernama
Malah, Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid turut menyifatkan pemilihan pakaian pemimpin negara itu tidak menonjolkan elemen remeh untuk dinilai oleh khayalak.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika itu memakai set baju Melayu, bersamping, bersongkok dan menyarungkan capal untuk mengetengahkan aura pakaian tradisi.
Setenang warnanya, biru lembut mampu memberi emosi yang menggambarkan ketenangan, jadi ia cocok dengan situasi ketika seseorang itu bercakap atau membentangkan sesuatu yang serius supaya khalayak lebih tenang.
Mengimbau semula situasi sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pernah memecah tradisi membawa kelainan apabila tampil santai membawa beg sampul berwarna kelabu dengan berbaju Melayu biru.
Penampilan itu agak berbeza dengan pemimpin sebelum ini yang kebiasaannya akan membawa beg bimbit berwarna hitam yang menjadi tradisi.
Najib menarik perhatian menerusi pemakaian baju Melayu berona merah jambu.
Sementara itu, meskipun merah jambu kebiasaannya sinonim dengan wanita, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merangkap Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2017 tetap tampil bergaya dengan baju Melayu merah jambunya.
Manakala sewaktu Bajet 2018, beliau memilih untuk mengenakan set baju Melayu berona biru.
Melihat pada busana yang dipilih oleh pemimpin sebelum ini, Majoriti menjangkakan Anwar akan memilih untuk memakai baju Melayu berwarna kelabu ketika membentangkan Bajet 2024 pada petang ini.
Namun biar apa pun pilihan menteri, tetaplah intipati pembentangannya yang kita nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram