PERAK FC menambah baik benteng terakhir mereka dengan menandatangani penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Hamid bagi mengharungi saingan sengit 2024/2025.
Walaupun namanya tidaklah sepular penjaga gol lain namun Ramadhan sering diberikan kepercayaan oleh barisan kejurulatihan untuk beraksi dalam perlawanan getir seperti final Piala Cabaran.
Ketangkasan penjaga gol berusia 29 tahun itu membantu The Cops menjulang trofi Piala Cabaran dengan menewaskan Kuching City 4-1 secara agregat pada Disember 2023.
Khidmat pemain kelahiran pemain Kelantan itu juga ditagih pasukannya apabila bertemu pasukan gergasi tanah air seperti Johor Darul Taksim (JDT), Selangor FC dan Sabah FC bagi saingan Liga Super.
Keyakinan dan pengalaman bekas penjaga gol Kedah FA berkenaan sememangnya cukup penting sekiranya Perak FC mahu mengurangkan jumlah bolos dan kembali digeruni oleh kelab lain.
Berdasarkan statistik perlawanan pada musim lepas, skuad Seladang merekodkan 55 gol bolos dalam 26 perlawanan, sekali gus menjadi pasukan ketiga paling banyak dibolosi selepas Kelantan FC dan Kelantan United.
BACA LAGI: Pengalaman pentas tertinggi punca Perak mahu dapatkan GK padu kelab Lembah Klang
BACA LAGI: Pernah malukan Perak di final 2019, bek kental Pantai Timur calon perkuat kubu The Bos Gaurus
Perpindahan Ramadhan ke skuad The Bos Gaurus (TBG) juga dilihat memberi kelebihan kepada pemain tersebut apabila rata-rata penyokong yakin bahawa beraksi bersama Perak membantu namanya untuk menjadi lebih dikenali.
Jika dibandingkan dengan skuad The Cops, skuad Seladang jauh lebih terkenal kerana sejarah kehebatannya dahulu dan mempunyai penyokong yang ramai.
Oleh itu tidak hairanlah jika ada penyokong mula membuat jangkaan awal bahawa Ramadhan akan mengatasi Syihan Hazmi sebagai penjaga gol nombor satu negara sekiranya dia memberi persembahan cemerlang pada musim baharu ini.
“Bagus dia ini. Ada sizing yang bagus. Minit permainan pun tinggi pada musim lepas. Lagi penjaga gol dari Kelantan yang bakal jadi penjaga gol hebat selepas Syihan dan Azri (Azri Ghani),” kata penyokong, Leron Jannata.
“Mantaplah Perak, minat tengok keeper ini musim lepas di PDRM. Boleh ni,” tambah penyokong TBG, Awie Ozil.
Kehadiran Ramadhan ke kem Perak FC itu diumumkan sendiri oleh laman media sosial rasmi skuad Seladang pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram