'Ada sampai meninggal pun tak selesai', warganet kongsi pengalaman 'ngeri' berurusan di pejabat tanah


  • Massa
  • Isnin, 29 Jan 2024

Rata-rata warganet mendakwa bahawa urusan di pejabat berkenaan lazimnya memakan masa yang cukup lama. — Gambar hiasan

BAGI memastikan kualiti perkhidmatan awam di dalam negara, kerajaan ketika ni sudah melaksakanan pelbagai inisiatif bagi memastikan ia benar-benar efisien dalam memenuhi keperluan rakyat.

Usaha tersebut meliputi antara lain menerusi langkah mengurangkan birokrasi, menambah baik sistem perkhidmatan dan mendigitalisasikan proses urusan di pejabat.

Bagaimanapun, di sebalik segala insiatif dilaksanakan, terdapat perkhidmatan tertentu dalam sektor awam yang dipercayai masih ketinggalan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Antara yang menjadi sasaran dalam kritikan tersebut adalah kualiti perkhidmatan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Rasa tidak puas hati itu dikongsikan sendiri oleh beberapa warganet yang menceritakan pengalaman mereka berurusan di pejabat berkenaan.

Rata-rata daripada mereka mendakwa bahawa urusan di pejabat berkenaan lazimnya memakan masa yang cukup lama.

Malah ada yang mendakwa bahawa terdapat antara urusan memerlukan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

Salah seorang daripadanya yang menggunakan akaun Facebook, Amir Says berkata, situasi itu berlaku berkemungkinan kerana segala urusan di pejabat tersebut dilakukan secara manual.

"Tiada sistem langsung. Contoh nak isi borang untuk tukar hak milik tanah pun kena dakwat hitam cair, nak cross (tidak berkaitan) pun kena pakai pembaris. Tak boleh panjang atau pendek sangat," ujarnya.

file61pwnjofnk413k2kddrw

Amir Says mendakwa urusan untuk menandatangani dokumen untuk mendapatkan sekatan daripada PTG juga boleh memakan masa sehingga dua minggu. — Gambar hiasan

Dakwanya, urusan untuk menandatangani dokumen untuk mendapatkan sekatan daripada PTG juga boleh memakan masa sehingga dua minggu.

"Aku kerja swasta kalau nak minta sign bos ketuk pintu bilik bos minta dia sign lima hingga 10 minit sahaja. Kenapa PTG ambil masa dua minggu? Kalau pengarah selalu outstation takkan tak boleh delegate?" soalnya.

Dalam pada itu, dia mendakwa, urusan di kaunter PTG juga memerlukan pengguna untuk pergi ke beberapa kaunter berlainan untuk urusan pengisian, pemeriksaan dan tandatangan borang.

Katanya, proses itu juga melibatkan pengguna perlu berurusan dengan beberapa orang pegawai yang berbeza.

"Lepas isi borang, aku kena pergi kaunter dekat wing (bahagian) lain untuk jumpa pegawai lain. Pegawai tu akan periksa satu-satu borang aku isi, cop dan sign setiap helai.

"Kenapa tak boleh pegawai yang tadi sign terus ya?" katanya.

Dalam pada itu, Amir Says turut mendakwa bahawa terdapat segelintir pihak yang seolah-olah menyarankan agar pengguna memakai khidmat runner sekiranya mahu mempercepatkan urusan.

"Siap cakap 'nak senang pakai runner laa RM150 sahaja. Tidak ada abang nak kena sign borang, pegi LHDN lagi, bla bla'.

"Dalam hati aku, kalau cara kerja korang digital selari dengan 2024 ni, tak wujud pun runner tu," ujarnya.

Dalam pada itu, si ruangan komen, rata-rata warganet turut bersetuju dengan perkongsian dibuat Amir Says.

Malah, mereka turut mendakwa mengalami isu yang sama ketika berurusan di PTG.

"Sama la. Tanah arwah bapak mertua aku, peguam yang diupah pun menyerah. Siap taknak ambil komisen sebab pejabat tanah punya hal," ujar Mohd Hafiz Bin Zainal.

"Tahu takpe, urusan biasa pun dua minggu. Bila hubungi pula asyik pegawai tiada. Urusan tanah dah lima tahun tak selesai lagi," tulis Cek Bunga Soffea II.

"Pengalaman depan mata.Tahun 2016, dua orang ibu dan anak nak tukar nama tanah. Tapi diperam sampai 2023. Akhirnya dua-dua tu dah meninggal. Yang patut dapat dekat anak tu. Tak pasal-pasal kena faraid di bahagian ibunya. Kesian anak-anak yang 'si anak' tu, patut bahagian diorang," kongsi Eyza Hashim.

Bagaimanapun terdapat segelintir warganet yang mendakwa tidak semua PTG mempunyai tahap kualiti perkhidmatan yang teruk.

Katanya, isu yang timbul itu berkemungkinan berlaku kerana sikap sesetengah pekerja.

"Saya tak rasa semua pejabat tanah mcm tu. Pengalaman saya sendiri, Alhamdulillah ok saja dan saya bukan runner. Pekerja di kaunter akan teliti borang dulu supaya cukup dan betul sebelum berurusan terus dgn pegawai. Sama seperti KWSP. Pada saya ni adalah sikap pekerja itu sendiri," ujar Sariyah Ismail.

"Alhamdulillah haritu pergi pejabat tanah Sabak Bernam ok sahaja. Cumanya kena ikut aturan dengan betul. Tak tahu la kalau pejabat tanah lain. Cuma macam biasa la muka ketat memanjang selama 3 kali berurusan," kongsi Hamiz Ismail. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram