Ada baik buruknya kerajaan hapus pencen kepada penjawat awam tetap baharu


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Langkah untuk menamatkan skim pencen persaraan kepada penjawat awam tetap baharu sudah dipersetujui oleh Kabinet. — Gambar hiasan

KERAJAAN pada minggu ini mengumumkan pelaksanaan dasar baharu yang bakal memberikan impak cukup besar terhadap sektor pekerjaan di dalam negara terutamanya dalam perkhidmatan awam.

Ia selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa penjawat awam yang baharu dan berstatus tetap tidak lagi akan menerima skim pencen persaraan.

Menurut beliau, perkara itu sudah dipersetujui oleh Kabinet.

Dengan pelaksanaan langkah tersebut, ia bermakna bahawa penjawat awam baharu kelak akan melaksanakan caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sama seperti pekerja di sektor swasta.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa dasar berkenaan hanya melibatkan penjawat awam baharu dan bukannya mereka yang sudah sedia ada di dalam sektor perkhidmatan awam ketika ini.

Untuk rekod, skim pencen yang dilaksanakan kerajaan ketika ini sudah dilaksanakan sejak sebelum merdeka iaitu ketika pemerintahan British pada 1890-an.

Sepanjang lebih 130 tahun ia dijalankan, skim tersebut yang kemudiannya dikenali sebagai Akta Pencen pada 1980 pernah mengalami beberapa perubahan antara lain melibatkan semakan kadar gaji yang memberi kesan langsung terhadap kadar pencen yang diterima.

Dengan penghapusan skim pencen persaraan tersebut, berikut Majoriti senaraikan pro dan kontra pelaksanaan dasar terbaharu oleh kerajaan:

Pro

1. Pulihkan kedudukan fiskal negara

Antara asas utama kepada keputusan bagi menamatkan skim persaraan terhadap penjawat awam baharu adalah kerana beban kewangan yang terpaksa dipikul kerajaan bagi dalam soal peruntukan.

Ini kerana menurut laporan Tinjauan Fiskal 2022, kerajaan membelanjakan sebanyak RM28.1 bilion atau 12 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan operasi yang disediakan.

Pada masa sama, pakar ekonomi menjangkakan sekiranya skim tersebut terus dijalankan, bayaran pencen dijangka akan sehingga mencecah RM46 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang iaitu pada 2030.

Ramalan berkenaan dibuat dengan mengambil kira faktor perubahan demografi apabila Malaysia dijangka menjadi negara tua dengan 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas pada tahun tersebut.

Sekiranya tiada perubahan dilakukan, perkara tersebut dibimbangi ia bakal memberikan beban terhadap kedudukan fiskal negara apabila kerajaan perlu memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan operasinya bagi tujuan pembayaran persaraan dan perkhidmatan awam secara umumnya.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal 2022, lebih separuh atau 67.5 peratus daripada keseluruhan RM233.5 bilion perbelanjaan operasi digunakan bagi pembayaran emolumen, bayaran khidmat hutan dan termasuk persaraan.

Perbelanjaan operasi yang tinggi bagi sektor perkhidmatan awam itu dilihat menjejaskan kedudukan fiskal negara khususnya dalam upaya menyediakan perbelanjaan pembangunan mencukupi bagi memacu kemajuan negara.

Untuk rekod, daripada RMRM393.8 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2024, hanya RM90 bilion disediakan untuk perbelanjaan pembangunan manakala sebahagian besar RM388 bilion adalah bagi perbelanjaan operasi.

2. Tingkat produktiviti perkhidmatan awam

Sementara itu, langkah menamatkan skim persaraan bagi penjawat awam baharu dijangka turut memberikan kesan khususnya terhadap tahap produktiviti di dalam sektor perkhidmatan awam negara.

Perkara ini diakui sendiri oleh Felo Kanan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, Dr Zulkiply.

Dalam satu tulisannya yang disiarkan media tempatan, beliau berkata, model skim persaraan berdasarkan caruman seperti KWSP atau lebih dikenali sebagai sistem pay-as-you-go (PAYG) adalah lebih progresif berbanding model skim pencen penjawat awam yang dilaksanakan seperti ini.

Brief Caption: Part of the doctors, nurses and contract doctors at Penang General Hospital. ( April 03, 2023 ) — LIM BENG TATT/The Star

Bidang perubatan merupakan antara sektor kritikal di dalam perkhidmatan awam. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Mansuh dulu pencen wakil rakyat — Cuepacs

Ini kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan beban kerajaan, tetapi meningkatkan produktiviti pekerja.

"Ini berbeza dengan skim berdasarkan kebajikan yang memberi impak negatif kepada produktiviti.

"Ia perkara biasa dikaitkan dengan sistem kebajikan sosial. Ia tidak menggalakkan pekerja untuk bekerja lebih kuat kerana tidak memberi kesan kepada kebajikan mereka.

"Sistem PAYG sebaliknya boleh dirangka dengan penerapan nilai kerajinan bekerja dalam kalangan pekerja. Jumlah pencen diterima boleh dikaitkan dengan prestasi seseorang pekerja," ujarnya.

3. Amalan kabel diminimumkan

Pada masa sama, langkah kerajaan menamatkan skim persaraan sedia ada juga bakal mengurangkan amalan tidak sihat dalam proses pengambilan pekerja di dalam sektor awam.

Ini kerana seakan-akan sudah menjadi rahsia terbuka mengenai dakwaan wujudnya pihak tertentu yang menggunakan pengaruh atau perhubungan sama ada melalui kenalan mahupun keluarga bagi mendapat tempat dalam sektor perkhidmatan awam.

Malah, sudah menjadi satu tanggapan umum bahawa adalah sukar untuk dipilih masuk menjadi penjawat awam sekiranya individu tersebut tidak memiliki sebarang 'kabel'.

Dengan ketiadaan jaminan skim persaraan di waktu tua, ia secara langsung mengurangkan tarikan buat pihak yang tidak ikhlas dan hanya perkhidmatan awam sebagai pilihan kerana keselamatan perlindungan di waktu persaraan.

Dengan itu, ia sekali gus menghapuskan monopoli kumpulan tertentu yang didakwa berlaku dalam proses pengisian jawatan kosong dalam sektor kerajaan.

Kontra

1. Penghijrahan keluar bakat terbaik perkhidmatan awam

Meskipun langkah ini dilihat mampu mengurangkan pelantikan amalan kroni dalam perjawatan di sektor awam, ia pada masa sama turut berpotensi menyebabkan berlakunya fenomena penghijrahan keluar bakat daripada sektor awam.

Ini kerana selain faktor perbezaan kadar gaji di sektor swasta, ketiadaan jaminan pencen juga menyebabkan perjawatan di dalam perkhidmatan awam menjadi tidak lagi menarik untuk kumpulan ini.

Fenomena yang dikenali sebagai brain drain ini jika tidak ditangani mampu menjejaskan kualiti perkhidmatan yang disediakan khususnya dalam bidang yang kritikal seperti perubatan dan juga pasukan keselamatan negara.

Sehubungan itu, kerajaan seharusnya menyediakan pelan bagi memastikan agar penawaran gaji di sektor awam kekal kompetitif bagi menarik bakat terbaik yang dimiliki negara.

2. Jumlah pekerja perkhidmatan awam akan berkurangan

Situasi brain drain yang berlaku itu juga dilihat secara langsung berisiko menyebabkan berlakunya kemerosotan jumlah bilangan penjawat awam di dalam negara.

Realiti ini sekiranya benar-benar berlaku, ia pastinya menimbulkan perdebatan mengenai baik buruknya terhadap kualiti perkhidmatan awam di dalam negara.

Ini kerana di satu sudut, langkah ini dilihat positif kerana ia membantu secara langsung membantu usaha kerajaan mempercepatkan proses automasi dalam perkhidmatan tertentu yang tidak lagi memerlukan tenaga manusia.

Road Transport Department (JPJ) assistant enforcement officer Nurul Syamimi Zakaria was helping the public to use the agency’s latest queuing mobile application, JPJeq, at Wangsa Maju headquarters. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Langkah penamatan skim pencen persaraan ini, sekiranya tidak dilaksanakan dengan teliti berpotensi untuk menjejaskan kualiti perkhidmatan awam di dalam negara. — Gambar hiasan

BACA LAGI: Kajian sistem gaji penjawat awam hampir lengkap — Fahmi Fadzil

Bagaimanapun, pada masa sama, kemerosotan terhadap jumlah penjawat awam dikhuatiri bakal memberikan kesan negatif khususnya sekiranya wujud isu kekurangan tenaga kerja untuk menjayakan pelaksanaan dasar oleh kerajaan.

Disebabkan itu, kerajaan seharusnya membuat penilaian yang teliti bagi mengelakkan berlakunya masalah kekurangan pekerja terutamanya dalam sektor yang kritikal dalam memacu pertumbuhan negara.

Sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia bakal membantutkan segala perancangan dan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan.

3. Tiada jiwa dalam perkhidmatan

Sementara itu, bagi mengisi kekosongan jawatan yang diperlukan dalam sektor perkhidmatan awam, kerajaan dijangka meningkatkan pengambilan pekerja yang dilakukan secara kontrak.

Malah, perkembangan ini juga dilihat sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini melalui beberapa program dan inisiatif yang dijalankan.

Situasi tersebut dilihat mewujudkan risiko apabila pekerja yang diambil itu tidak mempunyai kesetiaan terhadap tugasan yang diberikan mereka.

Ini kerana selain daripada ketiadaan jaminan pekerjaan, mereka yang diambil secara kontrak juga bebas untuk keluar dan masuk ke dalam perkhidmatan mengikut keperluan mereka.

Perkara ini sekiranya tidak diuruskan dengan baik tentunya bakal memberikan kesan negatif terhadap kesinambungan dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram