[VIDEO] Wanita halang ambulans sah pesakit mental, ramai desak batalkan lesen memandu


  • Massa
  • Sabtu, 27 Jan 2024

Pemandu wanita yang tular sejak Khamis kerana menghalang laluan ambulans di MRR2, Kuala Lumpur. — Facebook

SELEPAS sebuah video tular memaparkan tindakan seorang pemandu wanita menghalang laluan ambulans di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2), Kuala Lumpur pada Khamis lalu, dia disahkan mengalami masalah gangguan mental.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh setelah suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan rawatan serta mendapatkan laporan perubatan.

BACA LAGI: Wanita tular pandu kereta halang ambulans di MRR2 ada masalah mental

BACA LAGI: Suspek halang ambulans sudah dicekup, mengaku ada masalah pendengaran

Namun, perkara itu bagaimanapun nampaknya tidak dapat diterima ramai kerana menganggap bahawa tindakan pemandu tersebut tetap membahayakan nyawa pengguna jalan raya.

Bukan itu sahaja, ada juga yang berpendapat bahawa polis perlu bertindak lebih tegas dengan menarik kembali lesen memandu wanita berkenaan.

Mengulas lanjut, rata-ratanya tidak menafikan tentang kesahihan penyakit mental yang dihidapi oleh suspek.

Tetapi, pihak berkuasa juga dikatakan perlu mengambil tindakan seperti yang dicadangkan untuk memastikan kejadian sama tidak berulang kembali.

"Okay, dia ada masalah mental. Tarik lesen dia," tulis Saiful Awie.

"Ada masalah mental tapi ada lesen memandu. Sebelum ada yang jadi mangsa lebih baik tarik lesen dia balik," komen Roslan Rashid.

"Batalkan lesennya. Bahaya kepada pemandu lain," luah Abu Hamid.

Terdahulu, kejadian dilaporkan berlaku ketika ambulans berkenaan sedang dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ke Ulu Kelang.

Kejadian itu juga sempat dirakam dan tular di media sosial sebelum suspek berjaya ditahan polis sebelum disahkan mempunyai masalah mental. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram