'Syukur dapat pelan Telco tapi harga tambang e-hailing pun harap dapat selaraskan juga'


  • Massa
  • Selasa, 23 Jan 2024

Pada Isnin, Fahmi dilapor berkata, Kerajaan mendengar keluhan kumpulan pekerja p-hailing dan berharap usaha yang dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari. — Facebook

SEGELINTIR pemandu dan penunggang p-hailing meluahkan rasa lega selepas kerajaan melancarkan pakej p-hailing Rahmah yang menawarkan pelan internet dengan harga berpatutan.

Melalui pelan tersebut, mereka boleh membayar harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula Selasa hingga 23 April depan.

Namun begitu, ada yang berasakan pakej p-hailing Rahmah yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Selasa itu seolah-olah berat sebelah.

Hal ini kerana ia dilihat lebih memberi manfaat kepada p-hailing dan bukannya golongan pemandu e-hailing sedangkan kedua-dua kemudahan itu sering digunakan oleh rakyat.

BACA LAGI: [VIDEO] Sewa bilik RM9 sejam, murid sekolah menengah antara 5 pasangan kena cekup buat maksiat

Seorang pengguna media sosial, Awang Zainal berharap kerajaan untuk membantu mereka yang bekerja dalam e-hailing pula.

"Dah bantu kumpulan p-hailing kan, sekarang ini bantu kami pula. Ingat senang ke bawa kereta dengan keadaan ekonomi sekarang?

"Tolong dengar suara kami juga, selaraskan fare (tambang) kalau tidak boleh naikkan fare.

"Sakit balik kerja hanya RM50 dalam poket seluar. Kami juga nak hidup," tulisnya.

Addy Huzairy Othman pula meninggalkan komen yang berbaur sinis.

"Minta harga tambang dinaikkan atau selaraskan kepada harga lantai dan ada harga siling, sekali dapat pelan telco," tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita penggal kepala anak jiran, pura-pura ikut solat jenazah

Sementara itu, seorang lagi warganet, Mike Law berasakan pakej khas telekomunikasi ini tidak begitu penting.

"Berapa agak diskaun diberi ? Petrol, penyelenggaraan kereta dan e-hailing insurans sebulan dapat berapa?

"Apa yang kami perjuangkan ialah fare rendah yang tidak adil. lain yang kami minta, lain yang kami dapat," tulisnya.

Pada Isnin, Fahmi dilaporkan berkata, Kerajaan Madani mendengar keluhan kumpulan pekerja p-hailing dan berharap usaha yang dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari.

Pakej p-hailing Rahmah juga bertujuan meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-hailing dan membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan semasa melaksanakan tugas.

Fahmi juga dalam respons berhubung kadar upah memaklumkan, kerajaan tidak akan mencampuri urusan pembayaran upah bagi pekerja gig khususnya melibatkan semua petugas p-hailing ketika ini.

Beliau berkata, keputusan pembayaran upah adalah terletak pada tanggungjawab setiap syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram