[VIDEO] Padah lari disaman polis, kereta antik wanita terbelah dua lepas rempuh lori


  • Benua
  • Selasa, 23 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan kereta tersebut yang terbelah dua selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Amerika Syarikat pada 7 September 2022.

CUBAAN seorang wanita melarikan diri daripada ditahan polis di Amerika Syarikat tidak berjaya selepas terlibat dalam kemalangan ngeri.

Kejadian ngeri yang berlaku pada 7 September 2022 itu bagaimanapun sempat dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kereta Polis Arkansas.

Video itu tular semula di media sosial baru-baru ini dan ia memaparkan tindakan melulu seorang wanita cuba melarikan diri selepas ditahan polis di tepi jalan raya.

BACA LAGI: Budak 10 tahun antara 2 maut nahas lori rempuh 4 kereta di Jalan Dengkil Banting

Kereta antik jenama Pontiac itu pada awalnya dipandu seorang lelaki didakwa kawan yang menghantarnya ke hospital.

Namun, pihak polis dilaporkan dapat mengesan jenayah dilakukan selepas terhidu bau dadah yang kuat di dalam kereta terbabit.

BACA LAGI: Rakan meraung rakam pemandu kena lenyek sampai putus kepala di Senawang

Susulan itu, anggota polis tersebut dikatakan memeriksa lebih lanjut dan mengarahkan kedua-dua suspek keluar daripada kereta sebelum menemui dadah di dalam dompet dan bag wanita berkenaan.

Dalam pada itu, polis dilihat mengeluarkan surat saman dan menulisnya di atas bonet kereta sambil bercakap dengan wanita tersebut.

Beberapa minit kemudian, wanita itu dilihat berpura-pura bertanya soalan sebelum dengan pantas masuk ke dalam tempat duduk pemandu dan berlalu pergi dengan laju.

Namun, tindakan melarikan diri tersebut gagal selepas polis mendapati keretanya terbelah dua selepas merempuh sebuah lori di lokasi tidak jauh dari tempatnya ditahan.

Bagaimanapun, keadaan sebenar wanita itu tidak dinyatakan dan hanya dilaporkan cedera teruk serta dihantar ke wad kecemasan di hospital berdekatan.

Sementara itu, lelaki yang terlibat sama merupakan pemandu awal itu dilaporkan dihukum penjara atas kesalahan melanggar trafik dan memiliki senjata api secara haram. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram