'Ahli politik pun kena, baru adil dan saksama', ramai 'back up' penjawat awam berhubung isu pencen


Cadangan pemansuhan pencen terhadap ahli politik dipersetujui ramai. — Gambar hiasan

CADANGAN kerajaan untuk memansuhkan pencen penjawat awam sememangnya menjadi perdebatan hangat di media sosial.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk menghapuskan skim pencen bagi penjawat awam baharu kerajaan yang berstatus tetap.

Zahid juga berkata, pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam itu akan digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

BACA LAGI : Kajian sistem gaji penjawat awam hampir lengkap — Fahmi Fadzil

2178038

Ahmad Zahid berkata, pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam itu akan digantikan dengan caruman KWSP.

Katanya, langkah tersebut diambil pihak kerajaan selepas mendapati jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan akan mencecah sebanyak RM120 bilion setahun jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda menjelang 2040.

Namun, beliau menegaskan bahawa penjawat awam sedia ada tidak terjejas dengan pemansuhan pencen berkenaan.

BACA LAGI : Mansuh dulu pencen wakil rakyat — Cuepacs

Selepas sahaja pengumuman tersebut dibuat, muncul pelbagai dakwaan dan isu yang dibangkitkan kerana dilihat akan menjejaskan nasib mereka.

Tidak kurang juga yang membandingkannya dengan ahli politik yang dikatakan tidak menerima nasib sama seperti rakyat biasa.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh pernah mengutarakan perkara itu dan menggesa kerajaan agar cadangan tersebut dilaksanakan terhadap wakil rakyat terlebih dahulu.

Katanya, ia merupakan tindakan berat sebelah jika hanya penjawat awam sahaja, sedangkan wakil rakyat masih dapat menikmati pencen sehingga akhir hayat.

Manakala, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu, Datuk Razali Idris pula berpendapat bahawa tindakan itu akan menyebabkan negara berdepan kekurangan penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Respons daripada ahli politik berkenaan juga dilihat sama seperti suara-suara yang diutarakan oleh masyarakat yang majoritinya tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Susulan itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut dilihat tampil menyuarakan pandangan agar kerajaan mengkaji semula cadangan pemansuhan pencen terhadap penjawat awam yang dikatakan sepatutnya dilakukan kepada ahli politik.

Cakna dengan isu berbangkit, Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat lantang menyuarakan bahawa pemberian pencen kepada ahli politik perlu dikaji semula jika benar negara mengalami kekangan kewangan.

2509745

Adnan yang turut melontarkan pandangan berpihak kepada penjawat awam.

Hal ini kerana, Adnan berkata, golongan tersebut menerima elaun serta peruntukan tinggi termasuk pelbagai keistimewaan lebih berbanding penjawat awam yang secara puratanya berkhidmat lebih 30 tahun.

Melihat kepada maklum balas tersebut, rata-rata warga maya bersetuju dengan pandangan berikut kerana ia dilihat sebagai langkah lebih tepat dan wajar.

Mengulas lanjut, pengguna Facebook Putera Daniel berkata, pemansuhan pencen pada wakil rakyat dan menteri bagi meringankan beban tekanan kewangan negara.

"Buat sistem indeks prestasi utama (KPI) dan tolak gaji mereka sebanyak 50 peratus yang tak menonjol," tulisnya.

Selain itu, ada juga yang menyatakan pemansuhan tersebut akan menjadi lebih adil kepada semua penjawat awam jika mahu dikaitkan dengan kebajikan negara.

"Walaupun bukan kerja kerajaan, tapi aku tak setuju mansuhkan pencen pekerja kerajaan sahaja. Tetapi mansuhkan juga pencen ahli politik, biar 100 peratus semua tak berpencen kalau nak cakap tentang kebajikan untuk negara," luah Ston Stars Catt.

"Mansuhkan juga skim pencen menteri yang tak cukup penggal berkhidmat, baru adil dan saksama," komen Bahrani ElBanjari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram