Azrif akui Pahang kurang berpuas hati, kongsi masa depan bersama skuad Tok Gajah


  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

Azrif merupakan antara tonggak utama yang membantu skuad Tok Gajah ke kedudukan kelima Liga Super musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

PRESTASI tidak konsisten pada penghujung musim menyaksikan Sri Pahang FC tergelincir ke kedudukan kelima Liga Super meskipun menghabiskan majoriti daripada kempen mereka di kedudukan lebih baik.

Isu konsistensi serta kecederaan merupakan antara faktor di sebalik kemerosotan itu dengan penyokong skuad Tok Gajah pastinya mengharapkan sesuatu daripada ketua jurulatih, Fandi Ahmad.

Meskipun kedudukan akhir itu adalah lebih baik berbanding musim lalu, mereka pastinya sukar menerima masalah prestasi yang dialami.

Perkara itu bagaimanapun turut diakui pengendali kelahiran Singapura berkenaan yang semestinya mahu membawa perubahan buat Sri Pahang FC.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 14.17.53

Azrif (tengah) memainkan peranan penting buat skuad Tok Gajah sepanjang musim.

Tidak cukup dengan itu, tonggak pasukan, Azrif Nasrulhaq juga berasakan pasukan Pantai Timur terbabit mampu menamatkan kempen di posisi lebih baik.

"Pertama kali, syukur kerana Pahang berada di kedudukan berbeza berbanding tahun lalu. Kami semua bergembira dengan kedudukan kami.

"Tetapi, kami sepasukan tidak rasa berpuas hati lagi. Insya-ALLAH, tahun depan kami semua akan perbaiki dari segi kedudukan liga," katanya kepada Majoriti.

Azrif sebelum ini menyertai Sri Pahang FC secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) dalam usaha skuad Tok Gajah menambah baik barisan pertahanan mereka.

82812603_1578429938986966_7890221828923195392_o

Azrif kurang diberikan peluang sepanjang beberapa musim bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kehadirannya boleh dianggap cukup penting buat pasukan bimbingan Fandi apabila dia mencatatkan 23 penampilan Liga Super dengan satu gol dan satu bantuan jaringan direkodkannya.

Bagaimanapun, sumbangannya masih belum cukup untuk mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan apabila mereka dibolosi 33 kali sepanjang kempen musim ini.

Dalam pada itu, pemain berusia 32 tahun itu turut berkongsi bahawa dia masih belum memikirkan masa depannya meskipun masih berminat untuk kekal di Pantai Timur.

"Saya tak pasti lagi, tetapi insya-ALLAH jika tiada halangan, saya bersama Pahang. Alhamdulillah, saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada Tengku Muda Pahang dan Tunku Mahkota Johor yang memberi peluang buat saya bersama Pahang," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram